malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mapim gesa PM anjur himpunan besar-besaran sokong Iran, Palestin
ADS

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan satu himpunan secara besar-besaran yang menyatukan semua pemimpin politik bagi menyatakan sokongan kepada Palestin dan Iran.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata himpunan itu adalah tanda solidariti rakyat Malaysia kepada Iran serta bantahan keras ke atas Israel yang menyerang negara itu.

"Saya akan menyatakan kepada Perdana Menteri supaya menghimpunkan semua pemimpin politik tanpa kira ideologi, mengadakan perhimpunan yang besar untuk menyatakan kita tidak boleh terima apa yang dilakukan Israel memaksa Iran untuk berperang.

"Kita sangat menyokong Iran untuk mempertahan diri mereka dan inilah yang sedang berlaku. Insya-Allah akan dibicarakan kepada Anwar Ibrahim untuk adakan perhimpunan paling besar di Malaysia," katanya.

Mohd Azmi berkata demikian kepada media semasa himpunan menentang keganasan dan peperangan ke atas Iran dan Palestin di ibu negara hari ini.

Mohd Azmi Abdul Hamid (kanan)

Perhimpunan yang bermula di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) itu diadakan selepas sembahyang Jumaat, disertau ratusan hadirin yang kemudiannya berarak ke kedutaan Amerika Syarikat bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Antara yang turut serta dalam himpunan itu adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Parti Putra Ibrahim Ali, aktivis Tian Chua dan Hishamuddin Rais serta beberapa lagi pemimpin Amanah.

Mengulas mengenai memorandum yang diserahkan, Azmi berkata dia sedar yang pihak kedutaan seperti biasa tidak akan menerimanya, namun apa yang lebih penting adalah mesej keamanan berjaya disampaikan.

Katanya, memorandum sama turut diserahkan kepada seluruh ahli Parlimen di Malaysia.

"Nampak dia (kedutaan Amerika Syarikat) tidak respons, kita tahu. Tapi mesej kita telah disampaikan.

"Kita telah menghantar memorandum kepada ahli-ahli Parlimen kita, pemimpin dunia, rangkaian kita di seluruh dunia, saya jangka sudah sampai ke PBB," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen