malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Laksana reformasi gaji seperti saranan BNM sebelum peluasan SST'
Diterbitkan:  Jun 20, 2025 5:37 PM
Dikemaskini: 12:54 PM
ADS

Bekas ahli parlimen DAP, Charles Santiago, menggesa kerajaan mengambil serius gesaan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya melaksanakan reformasi struktur gaji.

Langkah itu katanya perlu dilakukan sebelum kerajaan melakukan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Charles merujuk kenyataan Timbalan Gabenor BNM, Marzunisham Omar, yang menegaskan bahawa usaha mengawal inflasi samata-mata tidak mencukupi untuk menangani tekanan kos sara hidup, memandangkan pertumbuhan gaji yang mendatar kekal sebagai isu yang membimbangkan.

"Adakah BNM sedang memberi mesej kepada PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim)?

“Gaji rakyat tidak seiring – tidak dengan harga barang yang naik 17.5 peratus dan produktiviti meningkat 7.4 peratus.

“Tekanan kos hidup makin mencengkam, tapi gaji masih tidak cukup untuk menampung. Sebelum naikkan SST, kerajaan perlu tanya: rakyat benar-benar mampu atau tidak?” katanya menerusi beberapa hantaran di platform X hari ini.

Charles turut menyatakan bahawa walaupun kadar gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,700, jumlah itu masih dianggap “tidak mencukupi”.

“BNM sebut ini sebagai ‘ketidakselarasan struktur’ – cara sopan untuk menyatakan bahawa ya, produktiviti meningkat, tapi gaji tetap tidak naik. Keuntungan daripada peningkatan produktiviti hanya dinikmati golongan kaya. Bagaimana pula dengan golongan miskin?

“Pasaran telah gagal. Sudah tiba masanya kerajaan campur tangan – tanpa tindakan, jurang akan terus melebar,” tegasnya.

Charles turut menyeru agar syarikat-syarikat mencontohi Sime Darby Property Bhd yang sebelum ini menaikkan gaji sara hidup minimum pekerja dalam kategori B40 sebanyak 80 peratus kepada RM2,700 sebulan.

“Kalau ekonomi berkembang tapi rakyat tidak, itu satu masalah besar,” tambahnya.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan semula kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai.

Kadar cukai jualan kekal untuk barangan asas, namun kadar lima atau 10 peratus akan dikenakan terhadap barangan tertentu.

Dalam masa sama, skop cukai perkhidmatan turut diperluas meliputi enam perkhidmatan baaru: sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan, dan perkhidmatan kecantikan.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan bahawa ruang penjanaan hasil negara masih sempit, dan peluasan cukai perlu demi memastikan kelanjutan fiskal.

Setiausaha akhbar kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, turut menegaskan bahawa prinsip utama kerajaan adalah jelas iaitu beban tidak akan ditanggung oleh rakyat terbanyak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen