Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Pengerusi Umno Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail tampil mempertahankan bekas perdana menteri, Najib Razak susulan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Akmal menyifatkan kes berkenaan sebagai pendakwaan bermotif dendam politik sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pertama kali berkuasa, sambil mempersoalkan ketiadaan bukti kukuh sehingga kes tergantung tanpa dibicarakan selama enam tahun.
“Jawapannya mudah sahaja. Kerana tiada apa-apa bukti kukuh untuk pihak pendakwaan ketika kerajaan PH 1.0 dahulu untuk melakukan pendakwaan, malah perbicaraan pun tidak dijalankan selama enam tahun.
“Dokumen pun sehingga ke hari ini belum dapat diperolehi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Akmal turut membandingkan kes itu dengan dakwaan skandal NFC yang dikaitkan dengan pemimpin Umno suatu ketika dahulu.
“Sama juga dengan kes lembu NFC dulu yang Rafizi canangkan satu Malaysia dahulu yang mana mahkamah putuskan tidak bersalah setelah beberapa tahun lamanya.
“Akhirnya rakyat boleh menilai siapa yang dizalimi dan siapa yang membohong selama ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Wan Rosdy pula menyifatkan keputusan mahkamah sebagai “kemenangan moral” kepada Najib dan seluruh keluarga serta anggota Umno.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Najib Razak hari ini dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.
“Keputusan ini merupakan kemenangan moral kepada Najib, keluarga dan juga ahli-ahli Umno. Semoga Najib terus diberikan kekuatan, ketabahan serta keadilan sewajarnya dalam menghadapi pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau,” katanya.
Kenyataan pemimpin Umno itu jelas merujuk kepada kenyataan bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli yang mengecam kelemahan pendakwa raya dalam menguruskan kes yang sepatutnya menjadi antara lambang perjuangan membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Rafizi berkata walaupun dia menghormati permohonan DNAA oleh Najib dan keputusan hakim, tetapi kecewa kerana kes itu gagal dibawa ke muka pengadilan walaupun telah dimulakan sejak 2019.
“Saya tidak faham kenapa pihak pendakwa raya mengambil masa yang begitu lama untuk menyiapkan dokumen seperti yang diperlukan untuk memulakan kes?” soal bekas timbalan presiden PKR itu.
Pagi tadi, Mahkamah Tinggi memberikan DNAA kepada Najib dalam tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC RM27 juta.
Hakim K Muniandy berkata kes tergantung enam tahun tanpa sebarang keterangan saksi dikemukakan–dengan hanya sekali penangguhan–menunjukkan bahawa pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan.

“Penantian terlalu lama untuk perbicaraan ini menjadi suatu beban berpanjangan bagi tertuduh dan menafikan haknya untuk mendapat penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya,” katanya.
Najib dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda sehingga RM5 juta, atau kedua-duanya sekali.
Najib sedang menjalani hukuman penjara di Kajang setelah disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International dalam satu kes berasingan. Tempoh hukumannya dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan pada Januari lalu, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

