malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
34 lagi warga Palestin terbunuh dalam serangan Israel
ADS

Sekurang-kurangnya 34 warga Palestin terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam dua serangan besar oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza tengah awal pagi Jumaat, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) yang memetik sumber perubatan.

Serangan pertama berlaku berhampiran Persimpangan Al-Shuhada di utara kem pelarian Nuseirat, ketika orang ramai berkumpul untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan tetapi menjadi sasaran tembakan dan bedilan oleh tentera penjajah Israel.

Hospital Al-Awda memaklumkan telah menerima 23 mayat mangsa serta beberapa individu yang cedera, kebanyakannya dalam keadaan kritikal.

Dalam serangan berasingan, pasukan Israel membedil sebuah rumah di kawasan Al-Ma’asara di sebelah barat Deir al-Balah, turut terletak di Gaza tengah.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan 11 orang terbunuh dalam serangan itu, manakala yang lain cedera dan kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah.

Pencerobohan berterusan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 55,706 kematian direkodkan, selain lebih 130,101 orang cedera.

Ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan dan tidak dapat diselamatkan akibat serangan berterusan yang menghalang pasukan kecemasan dan pertahanan awam.

Serangan bersifat genosid oleh Israel terus berlaku tanpa henti meskipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyeru gencatan senjata serta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan langkah pencegahan genosid dan bantuan segera bagi meredakan krisis kemanusiaan di Gaza.

- Bernama - Wafa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen