Pemuda MIC hari ini mempertahankan Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun, yang disiasat polis dan telefonnya dirampas selepas membangkitkan kebimbangan mengenai isu serahan data peribadi pengguna.
Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan berkata, Kementerian Komunikasi sepatutnya memberi penjelasan telus kepada rakyat, bukannya menggunakan polis untuk menyiasat mereka yang bertanya.
“Tindakan ini menimbulkan persepsi intimidasi dan mencetuskan duluan berbahaya apabila pemimpin muda disasarkan hanya kerana menyuarakan kebimbangan rakyat.
"Wong hanya menyoal dasar yang dilihat berpotensi melanggar privasi,” katanya.
Terdahulu, Wong dipanggil ke Bukit Aman berikutan video TikTok yang mempersoalkan arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada syarikat telekomunikasi untuk mengemukakan butiran penggunaan telefon dan internet pengguna.
Arvind menegaskan bahawa hak bersuara dijamin Perlembagaan dan siasatan terhadap Wong mencemar semangat Malaysia Madani.
“Kami desak siasatan dihentikan serta merta. Bertanya bukan jenayah,” katanya sambil menyatakan sokongan penuh Pemuda MIC terhadap Wong.
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon turut menggesa kerajaan agar tidak melihat kritikan sebagai ancaman.
“Jika tindakan sebegini jadi kebiasaan, siapa lagi akan berani bersuara? Demokrasi menuntut toleransi terhadap pandangan berbeza,” katanya.
Mah berkata, jika kerajaan tiada apa yang mahu disembunyikan, soalan Wong wajar dijawab secara terbuka, dan bukan disiasat.

