malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
China mahu gencatan senjata diutamakan di Timur Tengah
Diterbitkan:  Jun 20, 2025 3:04 PM
Dikemaskini: 7:04 AM
ADS

GLOBAL | Pelaksanaan gencatan senjata mesti diutamakan di Timur Tengah, kata Presiden China Xi Jinping dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin pada Khamis.

Semasa pemimpin kedua-dua negara bertukar-tukar pandangan mengenai situasi di Timur Tengah, Xi membentangkan prinsip dan pendirian China dengan berkata, situasi amat kritikal di Timur Tengah ketika ini dan ia sekali lagi membuktikan dunia sedang berada dalam tempoh pergolakan dan transformasi baru.

Xi berkata, pihak-pihak yang terlibat dalam konflik terutamanya Israel, perlu menghentikan operasi ketenteraan secepat mungkin untuk mengelakkan ketegangan semakin meruncing dan kesan peperangan dapat dikawal.

Katanya usaha bagi memastikan keselamatan penduduk awam mesti diutamakan.

“Pihak-pihak yang terlibat dalam konflik perlu mematuhi undang-undang antarabangsa, mengelakkan kematian dan kecederaan dalam kalangan masyarakat awam yang tidak berdosa, dan memberi syarat bagi memudahkan rakyat negara ketiga keluar dari lokasi konflik.

“Dialog dan rundingan merupakan penyelesaian tuntas. Pelbagai pihak perlu berpegang kepada penyelesaian isu nuklear Iran secara politik, dan mendorong isu itu kembali ke landasan penyelesaian politik melalui dialog dan rundingan.

“Usaha masyarakat antarabangsa menggalakkan rundingan damai amat diperlukan. Masyarakat antarabangsa, terutamanya negara berkuasa besar yang berpengaruh terhadap pihak-pihak yang berkonflik perlu berusaha untuk meredakan ketegangan situasi serantau.

“Majlis Keselamatan PBB juga perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam penyelesaian masalah ini,” katanya.

Xi menegaskan Beijing bersedia meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan pelbagai pihak, menegakkan keadilan dan perpaduan serta memainkan peranan yang bersifat membina untuk memulihkan keamanan di Timur Tengah.

- Bernama/CMG


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen