Pemimpin Hezbollah, Sheikh Naim Qassem, berikrar memberikan “segala bentuk sokongan” kepada Iran dalam perjuangannya menentang Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu ucapan pada malam Khamis, Qassem dipetik oleh The Jerusalem Post sebagai berkata, program nuklear Iran yang dijadikan alasan oleh Presiden Donald Trump untuk menyerang negara itu adalah bersifat aman dan bertujuan untuk kepentingan rakyatnya.

“Ia tidak memudaratkan sesiapa walau sedikit pun; sebaliknya, ia mewakili sumbangan saintifik yang besar bagi kemajuan Iran dan rantau ini, dengan bergantung kepada keupayaannya sendiri tanpa campur tangan kuasa asing,” katanya.
Sambil menuduh masyarakat antarabangsa menentang Iran bukan kerana program nuklearnya, setiausaha agung Hezbollah itu berkata, Iran dimusuhi kerana memperjuangkan “iman, ilmu dan kebebasan” serta memberi manfaat kepada “golongan tertindas”.
“Amerika sedang membawa rantau ini ke arah kekacauan dan ketidakstabilan, dan dunia ke arah krisis terbuka, dan hanya akan membawa aib, kehinaan, dan kegagalan.
“Iran berhak mempertahankan dirinya, dan rakyat di rantau ini serta orang bebas di seluruh dunia berhak berdiri bersama pemimpin agung dan bersama Iran dalam satu parit perjuangan,” tambahnya.

Qassem turut menegaskan komitmen Hezbollah untuk terus berdiri teguh bersama Iran menentang AS dan Israel dalam konflik ini.
“Kami berdiri atas nama kemerdekaan, pembebasan tanah air, dan kebebasan dalam membuat keputusan dan pilihan,” katanya
Sebagai tanda kesetiaan berterusan Hezbollah terhadap Tehran, Qassem menyeru supaya sokongan diberikan kepada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
“Kami menyeru semua orang yang bebas, yang tertindas, para pejuang penentangan, para ulama, dan mereka yang mempunyai pandangan yang waras agar mengangkat suara mereka dengan lantang serta menunjukkan kekuatan, keberanian dan sokongan dengan berhimpun di sekitar kepimpinan Imam Khamenei yang paling mulia dan terhormat,” katanya.
Qassem turut mengecam cadangan Trump yang didakwa mempertimbangkan untuk membunuh Khamenei, sebagai satu bentuk "pencerobohan" terhadap seluruh rakyat di rantau Asia Barat.
Meskipun mempunyai hubungan erat dengan Tehran, Hezbollah setakat ini kekal tidak campur tangan secara langsung dalam konflik yang tercetus selepas Israel melancarkan serangan terhadap Iran.

“Kami, di dalam Hezbollah dan Barisan Penentangan Islam, tidak berkecuali antara hak Iran yang sah dan berdaulat dengan kejahatan serta pencerobohan Amerika bersama ketumbuhan barah bernama Israel,” kata Qassem.
Menerusi kenyataan itu, dia juga memberi bayangan bahawa mereka bersedia untuk bertindak balas jika keadaan memerlukan.
“Kami akan melakukan apa yang kami anggap sesuai bagi menghadapi pencerobohan keji AS-Israel ini,” katanya lagi.

