Beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir kilat teruk pagi ini susulan hujan lebat yang berpanjangan.
Berdasarkan hantaran di media sosial, antara kawasan yang terjejas termasuk Bukit Kemuning dan Sri Muda di Shah Alam, serta Jalan Kebun di Klang.

Menurut seorang pengguna Facebook, ramai penunggang motosikal terkandas di Plaza Tol Kota Kemuning di Shah Alam apabila beberapa laluan dinaiki air.
Satu siaran langsung di TikTok menunjukkan kawasan perumahan di Bukit Kemuning, Seksyen 32 Shah Alam, dilanda banjir sedalam paras lutut.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan bahawa satu pasukan penyelamat telah dihantar ke Bukit Kemuning kira-kira jam 8.30 pagi untuk menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap di dalam rumahnya.
Paras air dianggarkan setinggi satu meter.
Penolong Pengarah Operasi jabatan tersebut, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata setakat ini mereka hanya menerima satu panggilan kecemasan berkaitan insiden banjir kilat di negeri itu pagi ini.

Buat masa ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka.
Menurut Bernama, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kebanyakan negeri termasuk Selangor sehingga jam 11 pagi hari ini.
Berdasarkan amaran yang dikeluarkan pada jam 8.30 pagi tadi, negeri-negeri yang terlibat termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak – melibatkan kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
Keadaan cuaca serupa juga diramalkan berlaku di Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Bentong), serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Segamat dan Muar).

