malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Reformasi kehakiman: MCCBCHST sokong PN, desak PH tunaikan janji
Diterbitkan:  Jun 20, 2025 12:36 PM
Dikemaskini: 4:36 AM
ADS

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan sokongan terhadap gesaan Ketua Whip Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan untuk meminda Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan mengembalikan bentuk asalnya, sambil menekankan keperluan untuk memelihara kebebasan badan kehakiman pada setiap masa.

Majlis itu menggesa kerajaan melaksanakan reformasi yang dijanjikan sebelum pilihan raya umum akan datang, dan berkata alasan bahawa sukar mendapatkan sokongan tidak lagi boleh diterima.

Gambar Hiasan - Anggota MCCBCHST

“Perdana menteri dilaporkan berkata ‘bolehkah anda meyakinkan elit pemerintah dan elit profesional bahawa ini (reformasi) adalah satu misi yang mesti disokong oleh semua’."

“Untuk meluluskan pindaan kepada Akta 121(1) dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009, sokongan dua pertiga ahli Parlimen diperlukan, dan kerajaan perpaduan memiliki lebih daripada dua pertiga kerusi di Parlimen, manakala PN melalui Takiyuddin telah mencadangkan pindaan tersebut dan secara tidak langsung memberikan sokongan.

“Oleh itu, bagi pindaan Akta 121(1) ini, kerajaan boleh memperoleh hampir 100 peratus sokongan daripada ahli Parlimen,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

MCCBCHST berkata, memandangkan pelbagai gesaan telah dibuat untuk menjadikan badan kehakiman benar-benar bebas, kerajaan tidak mempunyai alasan untuk menangguhkan reformasi ini kerana ia juga telah dinyatakan dalam manifesto pilihan raya mereka.

“Reformasi institusi ini untuk memastikan badan kehakiman bebas daripada eksekutif dan menjadi cabang pemerintahan yang setara tidak boleh lagi ditangguh dan mesti dilaksanakan segera.

“Sejak pilihan raya umum lalu, kerajaan dilihat belum melaksanakan sebarang reformasi institusi yang dijanjikan seperti yang dinyatakan, termasuk pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya, menjadikan SPRM bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen, dan sebagainya,” tambah kenyataan itu.

MCCBCHST turut menyebut kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said yang mendakwa reformasi sedang berjalan, antaranya pengembalian semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan lebih 30 pindaan undang-undang sejak 2023, tetapi menegaskan bahawa pencapaian tersebut tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menangguhkan reformasi institusi yang telah dijanjikan.

“MCCBCHST oleh itu menggesa kerajaan melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan sebelum PRU ke-16 seperti yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan dan sepanjang kempen PRU-15,” katanya lagi.

Selain menggesa pindaan terhadap Perkara 121, Takiyuddin turut menyatakan kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa pilihan parlimen dwipartisan untuk memantau pelantikan kehakiman bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Sebelum 1988, Perkara 121 memberikan kuasa kehakiman kepada Mahkamah Tinggi dan mahkamah rendah lain. Namun, pindaan selepas itu telah menghapuskan peruntukan eksplisit ini dan menyatakan bahawa mahkamah “mempunyai bidang kuasa dan kuasa seperti yang diperuntukkan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.”

Perubahan ini secara efektif bermaksud kuasa kehakiman tidak lagi bersifat inheren tetapi hanya diberikan melalui undang-undang persekutuan.

Pada Januari lalu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan bahawa walaupun Malaysia telah mencatat kemajuan dalam memulihkan integriti badan kehakiman, perdana menteri masih mempunyai pengaruh yang terlalu besar dalam pelantikan hakim.

Dia turut mengimbas kembali kritikan Anwar Ibrahim pada tahun 2009 terhadap campur tangan politik dalam pelantikan hakim kanan walaupun ketika itu kerajaan telah memperkenalkan reformasi penting seperti penubuhan JAC.

Walaupun JAC boleh mencalonkan individu untuk dilantik sebagai hakim, perdana menteri masih boleh mengetepikan senarai tersebut dan meminta nama lain.

Walaupun dengan kuasa yang ada, Takiyuddin menggesa Putrajaya agar membenarkan JAC berfungsi secara bebas tanpa tekanan daripada pihak eksekutif dalam pemilihan hakim atau lanjutan tempoh perkhidmatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen