Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa fatwa terhadap Sisters in Islam (SIS) tidak terpakai ke atas entiti berdaftar telah mencetuskan reaksi keras daripada pelbagai institusi Islam dan parti politik.
Mereka menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan institusi fatwa dan sistem perundangan syariah.
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dewan Ulama PAS dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) tampil dengan kenyataan berasingan namun senada – menegaskan pentingnya memperkukuh kedudukan fatwa, memperbaiki kekaburan undang-undang dan mengelakkan percanggahan yang menghakis kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan.

Abim dalam kenyataannya berkata keputusan mahkamah itu membuka ruang cabaran besar terhadap autoriti institusi agama Islam negeri dan menimbulkan “kekhuatiran mendalam dalam kalangan umat Islam”.
“Keputusan ini boleh mencetuskan kekhuatiran yang mendalam… jika ia tidak ditangani dengan baik,” kata presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Menurutnya, walaupun kes ini melibatkan hujah perundangan sivil terhadap entiti korporat, ia menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan mekanisme menyekat fahaman yang bercanggah dengan Maqasid Syariah.
Abim turut memetik dua penghakiman berbeza dalam kes itu sebagai bukti wujud asas perundangan untuk menilai semula keperluan reformasi undang-undang agar “keharmonian antara sistem sivil dan syariah dapat dikekalkan secara adil dan menyeluruh”.
Justeru, Abim menggesa agar kerajaan Madani, Jakim dan Jabatan Peguam Negara menggubal mekanisme pengharmonian undang-undang bagi memperkukuh autoriti fatwa secara nyata dalam sistem dwi-perundangan negara.

Antara saranan utama Abim termasuk pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah dan Akta Pentadbiran Agama Islam Negeri, peranan aktif Majlis Raja-Raja dalam memimpin dialog nasional serta pelantikan Ketua Hakim Negara yang memahami keperluan mengharmonikan dua sistem perundangan tersebut.
“Prinsip keadilan tidak akan dapat dilestarikan sekiranya institusi-institusi agama seperti mufti dan Majlis Agama Islam Negeri beroperasi dalam lingkungan kuasa yang kabur atau terbatas,” katanya lagi.
Dewan Ulama PAS pula menyifatkan keputusan tersebut sebagai hanya menyentuh aspek teknikal dan tidak membatalkan fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberal dan plural sebagai menyeleweng.
“Tidak ada satu pun dapatan mahkamah yang menyangkal bahawa fahaman yang dibawa oleh individu-individu dalam kumpulan tersebut bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam yang sahih,” kata ketuanya, Ahmad Yahaya.

Menurutnya, PAS turut menyuarakan sokongan terhadap titah Sultan Selangor yang murka dengan penyalahgunaan nama “Sisters in Islam” dan menggesa nama itu dihentikan penggunaannya kerana boleh mengelirukan masyarakat.
“Ini penting bagi mengelakkan eksploitasi nama suci Islam demi kepentingan sempit dan kekeliruan awam,” katanya.
Ahmad berkata, PAS juga melihat perkembangan ini sebagai satu rangkaian cabaran berterusan terhadap institusi syariah, termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan 2022 yang membatalkan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.
“Ia seolah-olah satu susunan ‘puzzle’ untuk menggugat kewibawaan institusi agama Islam,” katanya sambil menyeru umat Islam untuk bersatu mempertahankan mahkamah syariah dan autoriti fatwa.
Ikim pula dalam kenyataannya berkata, mereka menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, namun menegaskan bahawa keabsahan fatwa terhadap fahaman liberal dan plural tetap kekal dan terpakai kepada individu-individu yang menyebarkannya.

Ikim juga menyokong saranan Sultan Selangor agar SIS Forum menghentikan penggunaan istilah “Sisters in Islam”, kerana menurut mereka, penggunaan nama tersebut mengelirukan masyarakat Islam.
“Penggunaan nama tersebut tidak memberi gambaran sebenar malah mengelirukan masyarakat Islam,” kata Ketua Pengarah Ikim, Mohamed Azam Mohamed Adil.
Ikim turut menyeru media supaya melaporkan isu ini secara tepat dan menyeru agar semua pihak menghormati institusi fatwa dan kehakiman demi kestabilan umat Islam di Malaysia.
Ketiga-tiga institusi ini melihat keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai satu petanda bahawa sistem dwi-perundangan negara memerlukan perhatian serius, bukan sahaja dari sudut teknikal undang-undang, tetapi dalam memastikan Islam terus dihormati sebagai agama Persekutuan seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.

