malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Trump sedia serang Iran, keputusan muktamad dalam dua minggu
Diterbitkan:  Jun 20, 2025 11:20 AM
Dikemaskini: 3:20 AM
ADS

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah meluluskan rancangan serangan ke atas Iran namun akan membuat keputusan muktamad sama ada untuk melancarkan serangan itu “dalam tempoh dua minggu”, menurut laporan media antarabangsa.

Trump berkata dia sedang menunggu untuk melihat jika Tehran bersedda menghentikan program nuklearnya.

BBC memetik Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh, yang memberi amaran bahawa jika AS campur tangan, ini akan menyebabkan “neraka untuk seluruh rantau itu”.

Dia mengingatkan Trump bahawa konflik semasa ini bukan peperangan AS, dan jika Washington memilih untuk menyerang Iran, presiden itu akan sentiasa dikenang sebagai seseorang yang “menyertai perang yang bukan miliknya”.

Katanya, penglibatan AS akan menukar konflik itu menjadi “kancah perangkap”, meneruskan pencerobohan dan melambatkan pengakhiran kepada “kekejaman”.

‘Sabotaj’ oleh Israel

Mengulas dakwaan berulang Trump bahawa konflik itu boleh dielakkan sekiranya Iran menerima perjanjian nuklear, Khatibzadeh menyalahkan Israel.

Katanya, Tehran sedang dalam proses rundingan sehingga Israel “mensabotaj” usaha itu dengan melancarkan serangan.

“Kami merancang untuk mengadakan pusingan keenam rundingan nuklear di Muscat, dan sebenarnya kami hampir mencapai persetujuan,” katanya.

“Presiden Trump lebih mengetahui bahawa kami hampir mencapai persetujuan,” tambahnya.

Khatibzadeh turut menolak dakwaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemantau nuklear di bawah PBB, bahawa Iran telah mengumpul uranium yang diperkaya kepada tahap ketulenan 60 peratus – hanya satu langkah teknikal sebelum mencapai 90 peratus yang diperlukan untuk bahan gred senjata – yang berpotensi menghasilkan bom nuklear.

“Ini karut. Kamu tidak boleh memulakan perang berdasarkan spekulasi atau niat. Jika kami benar-benar mahu menghasilkan bom nuklear, kami sudah lama memilikinya.

“Iran tidak pernah membangunkan sebarang program untuk menjadikan aktiviti nuklear aman sebagai senjata. Itu hakikatnya,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen