Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menggesa Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia tidak lagi menggunakan perkataan “Sisters in Islam” ke atas apa juga bentuk penerbitan dan platform yang berkaitan dengan mereka.
Gesaan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membenarkan permohonan SIS untuk membatalkan fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.
Dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Selangor Royal Press, Sultan Sharafuddin bertitah yang gesaan itu agar perkataan “Islam” tidak “sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut”.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.
“Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam,” menurut kenyataan itu.
Hari ini, panel lima hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan hari ini menerima rayuan SIS yang memohon agar ketetapan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menganggap pertubuhan berkenaan sebagai sesat dan menyeleweng.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang membacakan ringkasan penghakiman berkata fatwa pihak berkuasa agama hanya terpakai kepada individu dan bukannya badan atau “orang buatan” atau “tiruan”.
Menegaskan keputusan tersebut dibuat berdasarkan ketetapan dalam perlembagaan, Tengku Maimun menjelaskan hakim membuat ketetapan itu tanpa memberikan sebarang komen atau pendapat terhadap kandungan fatwa Selangor, khususnya frasa: “[...] fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”.
Mereka juga tidak menyentuh mengenai ketetapan fatwa yang menggariskan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam” kerana ia adalah perkara dalam bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa kecewa dan dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut,
“Baginda senada dengan isi kandungan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini, berhubung keputusan terbaru ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang dilampirkan dalam hantaran Selangor Royal Office, Mais berkata pihaknya menyokong penuh penghakiman bertentangan oleh salah seorang panel hakim, Abu Bakar Jais bahawa bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berhubung fatwa tersebut adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Mais memberi jaminan bahawa Mais bersama-sama dengan badan penguat kuasa agama di Selangor akan sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam in dapat dibanteras.
“Mais juga menegaskan komitmen Mais untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri- Negeri serta sokongan institusi Raja bagi tujuan memperkasa perundangan sedia ada,” katanya lagi.
SIS dalam kenyataannya menerima baik keputusan tersebut dan menyifatkannya bukan sahaja sebagai kemenangan untuk pihaknya, tetapi juga buat rakyat Malaysia yang percaya kepada proses undang-undang yang wajar, pengawasan demokrasi dan semangat Islam yang inklusif.
“Kami ulangi yang perjuangan kami tidak pernah bertujuan menyerang Islam atau pihak berkuasa yang berkaitan. Sebaliknya, ia merupakan cabaran kepada proses yang tidak mempunyai ketelusan, keadilan semula jadi dan kesaksamaan,” kata SIS.

