Balu kepada bekas menteri kewangan Daim Zainuddin hari ini menggesa Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menyiasat pihak polis atas dakwaan gagal bertindak terhadap aduannya ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut Na'imah Abdul Khalid, dia telah membuat laporan polis tahun lalu terhadap Anwar kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan SPRM menyiasat Daim, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, serta anak-anak Mahathir.
Tindakan itu dibuat susulan laporan Bloomberg bertarikh 26 September 2024 yang mendedahkan dakwaan campur tangan politik dalam operasi SPRM.
Artikel tersebut turut memetik sumber yang mendakwa Anwar mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki supaya tidak menyiasat Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung pembelian saham dalam syarikat HeiTech Padu Bhd.

“Namun sampai hari ini dah masuk sembilan bulan 9 (sejak saya buat laporan) tiada siasatan dibuat sampai hari ini, (Malah) saya tidak tahu siapa IO (pegawai penyiasat) dalam kes ini.
“Kemudian saya punya peguam telefon tanya perkembangan kes ni, tak ada jawapan, tulis surat pun tak ada jawapan.
“Jadi hari ini saya buat report supaya IPCC dengan berani siasat kenapa polis tak menyiasat laporan saya kepada IPCC,” katanya kepada media di luar ibu pejabat IPCC di Putrajaya.
Sambil meluahkan kekecewaannya, Na'imah hairan mengapa polis tidak memulakan sebarang siasatan terhadap Anwar, sedangkan nama perdana menteri disebut secara jelas dalam laporan Bloomberg tersebut.
Na'imah turut menyindir Azam yang sebelum ini menerima pujian daripada Anwar kerana didakwa menunjukkan "keberanian luar biasa" dalam memerangi rasuah berprofil tinggi.

Katanya, tiada apa yang luar biasa dalam tindakan Azam kerana dia hanya berani menyiasat bekas perdana menteri dan orang yang meninggal dunia.
“Yang saya tahu berani orang seperti (bekas ketua polis negara) Musa Hassan dia siasat timbalan perdana menteri dulu dan yang berani siasat perdana menterin (ialah) Abu Kassim masa (mengetua)i SPRM.
“Seorang lagi Gani Patail masa (jadi) peguam negara. Dia orang semua semua siasat perdana menteri, bukan mantan PM, bukan orang yang dah meninggal.
“Dalam kes ini saya nak tahu siapa yang berani siasat PM?” soalnya.

