Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan satu fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.
Selepas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa berkata keputusan mahkamah tertinggi negara itu membuktikan bahawa mereka mempunyai hak yang sah di sisi Perlembagaan Persekutuan untuk terus menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hak wanita Islam di Malaysia.
“Kami di SIS amat bersyukur dengan keputusan yang diberikan Mahkamah Persekutuan pada pagi ini, alhamdulillah.
“Selama hampir 11 tahun kami melalui proses untuk mendapatkan keadilan dan akhirnya kita mendapat pengesahan bahawa organisasi kami mempunyai hak yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan untuk terus bersuara,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.
Rozana turut menegaskan bahawa kerja-kerja advokasi yang mereka jalankan adalah relevan dan penting, khususnya dalam konteks kehidupan wanita Muslim yang berhadapan pelbagai cabaran dalam keluarga dan masyarakat moden.
“Kerja yang kami lakukan adalah kerja yang diperlukan, kerja yang relevan kerana ia berkaitan dengan kehidupan wanita seharian dalam keluarga di zaman yang kian mencabar dan getir ini,” tambah Rozana.

Katanya lagi, susulan keputusan mahkamah hari ini SIS juga berikrar untuk meneruskan perjuangan mereka yang telah bermula hampir empat dekad lalu demi memastikan suara wanita terus diberi tempat dalam wacana keagamaan dan sosial negara.
Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili kumpulan peguam daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ketika ditemui berkata keputusan mahkamah hari ini telah membuktikan fatwa yang digunakan adalah sah namun mengakui terpakai kepada orang yang menganut agama Islam sahaja.
“Fatwa terbabit hanya terpakai kepada orang-orang Islam dan tidak terpakai kepada syarikat atau pertubuhan mahu pun persatuan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sesebuah organisasi itu tetap diuruskan oleh individu.
Mohamed Haniff berkata melalui keputusan tersebut Jawatankuasa Fatwa Selangor dan jawatankuasa fatwa negeri lain mempunyai kuasa yang sah untuk mengeluarkan fatwa dari semasa ke semasa bagi membimbing umat Islam.
“Dan yang kedua, mana-mana individu yang mengamalkan dan mengikuti konsep pluralisme dan liberalisme adalah melanggar hukum syarak, haram dan patut kembali ke pangkal jalan serta bertaubat.
“(Ini) terpakai kepada semua orang di luar SIS Forum, mana-mana syarikat lain, mana-mana pertubuhan lain atau pun orang-orang di dalam SIS Forum sekalipun,” tegasnya.
SIS menolak dakwaan itu atas alasan istilah “liberalisme” dan “pluralisme agama” tidak ditakrifkan secara jelas dalam fatwa dan ketiadaan parameter yang khusus menimbulkan
ketidakpastian tafsiran dan penguatkuasaan.
Mereka berhujah kedua-duanya merupakan konsep yang luas dengan pelbagai tafsiran di peringkat antarabangsa.
SIS Forum merayu dalam usaha mendapat perintah mahkamah tertinggi negara untuk mencabar fatwa 12 tahun lalu yang melabelnya sebagai sesat dan menyeleweng.
Fatwa yang diwartakan pada 31 Julai 2014 itu mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengguna pakai ideologi liberalisme dan pluralisme, sebagai menyimpang daripada Islam.
Semakan kehakiman itu yang difailkan pada Oktober 2014 bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2020 serta dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2023.
Dalam semakan kehakiman itu, mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.
Bagaimanapun selepas 12 tahun berlalu Mahkamah Persekutuan pagi ini membenarkan permohonan Sisters in Islam (SIS) membatalkan fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor itu.
Mahkamah Persekutuan pagi ini membenarkan permohonan SIS membatalkan fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.
Dalam keputusan majoriti, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, perlembagaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa agama ke atas penganut Islam, bukan “bukan orang buatan (artificial persons) seperti syarikat”.
Tengku Maimun berkata mahkamah mengakui pihak berkuasa Islam Selangor mempunyai kuasa mengisytiharkan mana-mana individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Dia juga harap salah faham kerana panel hakim tidak membuat apa-apa komen tentang isi kandungan fatwa kerana ia dalam bidang kuasa eksklusif pihak pihak berkuasa agama.

