Sisters in Islam (SIS) menerima baik keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini dengan menyifatkannya bukan sahaja sebagai kemenangan untuk organisasi itu, tetapi juga buat rakyat Malaysia yang percaya kepada proses undang-undang yang wajar, pengawasan demokrasi dan semangat Islam yang inklusif.
“Mahkamah hari ini mengatakan fatwa boleh dan mesti tertakluk kepada proses undang-undang dan memastikan tiada satu pun institusi boleh melanggar undang-undang, dan semua rakyat Malaysia—tanpa mengira kepercayaan—boleh mengambil tindakan apabila hak mereka dinafikan.

“Gagasan yang mengatakan prinsip-prinsip seperti keadilan, belas ihsan, meninggikan martabat, berbeza pendapat, adalah asing dalam Islam adalah tidak benar malah ia warisan intelektual dan perundangan yang kaya.
“Kami ulangi yang perjuangan kami tidak pernah bertujuan menyerang Islam atau pihak berkuasa yang berkaitan. Sebaliknya, ia merupakan cabaran kepada proses yang tidak mempunyai ketelusan, keadilan semula jadi dan kesaksamaan,” kata SIS dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 3-1 membenarkan sebahagian rayuan SIS, dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa agama di Selangor telah bertindak silap apabila mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan kumpulan hak wanita itu untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan terhadapnya pada 2014.

Mahkamah memutuskan bahawa Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada pihak berkuasa agama terhadap “orang yang menganut agama Islam”, bukan terhadap syarikat.
“[…] kami mendapati perkataan persons professing the religion of Islam atau dalam bahasa Melayu: ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai di dalam butiran 1 hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan/tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat,” kata Tengku Maimun.
SIS dalam kenyataannya juga meluahkan rasa kesal kerana dilabelkan sebagai “sesat” selama lebih sedekad hanya kerana memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.
Dengan keputusan hari ini, mahkamah telah mengesahkan bahawa perjuangan mereka adalah hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
SIS juga berkata keputusan hari ini akan memastikan pihak berkuasa agama kekal bertanggungjawab kepada nilai-nilai perlembagaan dan tidak boleh menggunakan kuasa tanpa batasan.
“SIS percaya apabila sesebuah negara menggunakan Islam sebagai sumber undang-undang, dasar dan amalannya, akan tetapi hasilnya mendiskriminasi wanita dan melanggar kebebasan asasi manusia, maka kita sebagai rakyat mempunyai hak untuk mendapatkan semakan kehakiman.

“Kes ini bukan mengenai Islam, tetapi ia berkaitan undang-undang dan dasar awam, yang mesti melalui perdebatan awam,” katanya lagi.
Pada Julai 2014, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan SIS telah menyimpang daripada ajaran Islam, atas alasan menganut fahaman “liberalisme” dan “pluralisme agama”.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SIS untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman atas alasan mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa berkaitan hukum syarak. Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada Mac 2017 dan membenarkan prosiding kes tersebut diteruskan.

