Presiden Donald Trump terus membiarkan dunia tertanya-tanya sama ada jika Amerika Syarikat (AS) akan menyertai pengeboman Israel ke atas tapak nuklear Iran ketika konflik Israel-Iran memasuki hari ketujuh pada Khamis.
Reuters melaporkan, ketika bercakap kepada wartawan di luar Rumah Putih, Trump enggan menyatakan sama ada dia telah membuat keputusan untuk menyertai kempen Israel.
"Saya mungkin akan melakukannya, mungkin juga tidak. Maksud saya, tiada siapa tahu apa yang saya akan lakukan.

"Saya ada beberapa idea mengenai apa yang patut dilakukan, tapi saya belum buat keputusan muktamad.
"Saya suka buat keputusan pada saat akhir, kerana keadaan boleh berubah. Terutama apabila membabitkan peperangan", kata Trump.
Dalam kenyataan susulan, Trump yang sebelum ini menggesa Iran menyerah kalah berkata pegawai-pegawai Iran mahu datang ke Washington untuk mengadakan pertemuan.
Katanya, “kami mungkin akan buat begitu,” namun dia menambah, “sedikit terlambat” untuk rundingan berkenaan.
Sementara itu, AFP pula memetik Trump sebagai berkata, minggu depan akan menjadi detik penting untuk menentukan nasib Iran, manakala Tehran menafikan sama sekali mahu berunding dengan mana-mana pihak, apatah lagi merayu kepada AS.

"Apa yang saya boleh beritahu adalah Iran sedang berdepan banyak masalah dan mereka mahu berunding," kata Trump.
Dia mendakwa Iran sedang cuba untuk mencapai perjanjian berhubung program nuklearnya bagi menamatkan konflik dengan sekutu AS, Israel.
Sementara itu misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi satu hantaran Iyang dimuat naik di platform X menafikan dakwaan AS bahawa mereka menawarkan untuk menghantar pegawai ke Washington.
"Tiada pegawai Iran akan melutut di pintu Rumah Putih," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dibuat selepas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menolak tuntutan Trump supaya Iran menyerah tanpa syarat dan memberi amaran bahawa campur tangan AS akan membawa kerosakan yang tidak dapat dipulihkan.

Televisyen Iran juga menyiarkan amaran Khamenei kepada AS supaya tidak campur tangan dalam konflik itu, selepas presiden Trump, memberi bayangan mahu terbabit dan menggesa Tehran menyerah tanpa syarat.
"Negara ini tidak akan pernah menyerah," kata Khamenei dalam ucapannya, sambil menyifatkan ugutan oleh Trump sebagai 'tidak boleh diterima'.
"AS perlu tahu bahawa sebarang campur tangan ketenteraan pasti akan membawa kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan," kata pemimpin tertinggi Iran itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Bloomberg News yang memetik sumber dalaman kerajaan melaporan AS sedang membuat persiapan kemungkinan melancarkan serangan terhadap Iran dalam beberapa hari akan datang.

Katanya, situasi itu masih berkembang dan boleh berubah pada bila-bila masa, namun beberapa sumber menyatakan serangan mungkin dilaksanakan seawal hujung minggu ini.
Sebelum ini, akhbar The Wall Street Journal melaporkan bahawa Trump memaklumkan kepada penasihatnya bahawa dia sudah meluluskan pelan serangan ke atas Iran, namun menangguhkan tindakan itu untuk melihat sama ada Iran akan menyerahkan program nuklearnya.
"Semua pilihan masih terbuka," kata seorang pegawai Rumah Putih.
Penganalisis menyatakan bahawa sebarang tindakan ketenteraan oleh AS berisiko mencetuskan konflik serantau yang lebih luas, melibatkan sekutu Iran seperti Hezbollah dan kumpulan pejuang di Iraq serta Syria.

Moscow turut memberi amaran kepada Washington agar tidak terlibat secara langsung dalam konflik ini, dengan menyatakan bahawa tindakan sedemikian akan “menggugat kestabilan seluruh rantau”.

