malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zaid yakin PAS tak tebang durian, dakwa pemberi maklumat jika berkuasa
Diterbitkan:  Jun 19, 2025 11:31 AM
Dikemaskini: 3:31 AM
ADS

Zaid Ibrahim hari ini mengulangi sokongannya terhadap PAS dengan menegaskan bahawa parti itu benar-benar mengambil berat terhadap kebajikan rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, bekas menteri undang-undang itu merujuk kepada nasib pekebun durian di Raub dan berkata PAS tidak akan memusnahkan ladang mereka semata-mata untuk menunjukkan kuasa.

Menyentuh isu skandal rasuah di Sabah pula, Zaid berkata PAS tidak akan mendakwa pemberi maklumat hanya kerana isu teknikal.

“PAS tidak akan menebang pokok durian berusia 30 tahun hanya untuk menunjukkan kekuasaan, sebaliknya ia akan berunding berdasarkan pertimbangan ekonomi dan kepentingan masyarakat.

“Ia juga tidak akan mendakwa pemberi maklumat hanya kerana mereka tidak memenuhi keperluan teknikal di bawah undang-undang yang cacat.

“Sebaliknya, PAS akan menilai sesuatu isu berdasarkan kepentingan awam dan keadilan moral,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dia berkata demikian sebagai merujuk pertikaian yang lama berlarutan antara pihak berkuasa dan pekebun durian di Raub, Pahang, yang mencetuskan ketegangan pada 10 April lalu selepas pihak berkuasa menebang pokok durian musang king.

Susulan itu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang, ditahan kerana didakwa menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas mereka.

Semalam, peguam yang mewakili pemberi maklumat yang membongkar skandal rasuah di Sabah mengecam keputusan pihak berkuasa untuk mendakwa anak guamnya pada 30 Jun ini.

“Pada ketika ini, saya perlu tegaskan bahawa tanpa anak guam saya, keseluruhan skandal rasuah Sabah tidak akan pun disiasat oleh SPRM.

“Pendedahan anak guam saya, yang dibuat dengan risiko peribadi yang tinggi, telah memberikan manfaat besar kepada kepentingan awam.

“Adalah sangat mengejutkan dan mengecewakan apabila anak guam saya ‘dihadiahkan’ dengan pertuduhan jenayah,” kata peguam Mahajoth Singh.

Zaid turut menyatakan terdapat satu aspek dalam PAS yang menjadi aset terbesar kepada ahli-ahli parti terbabit dan juga mampu memberi manfaat kepada negara — iaitu ketakwaan yang sejati kepada Tuhan.

Bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata bahawa Malaysia terlalu lama menderita di bawah kepimpinan yang bukan sahaja tidak kompeten, malah menyalahgunakan kuasa demi ketamakan dan cita-cita politik.

“Mungkin, di bawah PAS, institusi awam kita akhirnya boleh dibebaskan daripada cengkaman campur tangan politik. Fikirkanlah,” tambah Zaid.

Semalam, Zaid berkata PAS berpotensi membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, dengan syarat ia menggabungkan prinsip moral yang jelas dengan tadbir urus yang baik serta inklusif.

Dia turut menegur pihak yang sering meremehkan keupayaan PAS.

“Sejarah membuktikan bahawa kepimpinan ulama mampu memimpin negara dalam waktu sukar. Lihat saja Iran.

“Dengan bimbingan majlis ulama — sekumpulan ulama berpegang teguh kepada prinsip ideologi — Iran bukan sahaja mampu bertahan, malah kekal berdikari walaupun berdepan perang dan sekatan ekonomi bertahun-tahun daripada kuasa besar dunia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen