malaysiakini logo
story-image
ADS

Mahkamah Persekutuan pagi ini membenarkan permohonan Sisters in Islam (SIS) membatalkan fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.

Dalam keputusan majoriti, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, perlembagaan negara hanya memberi kuasa kepada pihak berkuasa agama ke atas "orang yang menganut agama Islam".

“[…] kami mendapati perkataan persons professing the religion of Islam atau dalam bahasa Melayu: ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai di dalam butiran 1 hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan/tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut penghakiman berkenaan, Tengku Maimun berkata mahkamah mengakui pihak berkuasa Islam Selangor mempunyai kuasa mengisytiharkan mana-mana individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Butiran 1 yang dipetik hakim itu merujuk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam Senarai II – Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kuasa mahkamah syariah hanya terpakai kepada “orang-orang yang menganut agama Islam”.

Dalam penghakiman tersebut, mahkamah mendapati tidak timbul keperluan untuk menyingkap tabir perbadanan (lifting of corporate veil) kerana sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi semestinya digerakkan oleh individu.

“Mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan 1 dan 4.

“Hakikat ini adalah sangat jelas dalam fatwa tersebut di mana ia juga secara nyata membezakan antara individu (secara sah) dan syarikat (secara tidak sah),” katanya.

Sehubungan dengan itu, kata Tengku Maimun, tidak timbul isu sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak patut dibiarkan tanpa bertanggungjawab atas perbuatan-perbuatan yang melanggar fatwa tersebut.

“Kebertanggungjawaban atas apa-apa pelanggaran fatwa tersebut adalah sedia terletak di bahu individu-individu yang menggerakkan syarikat, pertubuhan atau institusi tersebut.

“Pandangan kami ini dikuatkan oleh perenggan empat fatwa tersebut yang hanya menghendaki mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama bertaubat dan kembali ke jalan Islam,” tegasnya.

Dalam pada itu, mahkamah juga menegaskan agar penghakiman hari ini tidak disalah faham.

Justeru Tengku Maimun berkata panel hakim tidak membuat apa-apa komen mahupun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam Selangor khususnya terhadap frasanya: “... fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam” dan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.”

Hal itu kerana, kata Tengku Maimun, ia adalah perkara dalam bidang kuasa eksklusif pihak responden.

SIS Forum merayu dalam usaha mendapat perintah mahkamah tertinggi negara untuk mencabar fatwa yang dikeluarkan 12 tahun lalu yang melabel pertubuhan berkenaan sebagai sesat dan menyeleweng.

Fatwa itu – yang diwartakan oleh kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014 –mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengguna pakai ideologi liberalisme dan pluralisme, sebagai menyimpang daripada Islam.

Semakan kehakiman itu difailkan pada Okt 2014 dan ditolak mahkamah tinggi pada Ogos 2020 sebelum keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2023.

Dalam semakan kehakiman itu, mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri sebagai responden.

Selain Tengku Maimun, empat hakim lain yang bersidang mendengar permohonan tersebut ialah Abang Iskandar Abang Hashim, Nallini Pathmanathan, Abu Bakar Jais, dan Abdul Karim Abdul Jalil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen