malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis digesa siasat dakwaan Yusoff Rawther ejen Mossad
Diterbitkan:  Jun 18, 2025 9:59 PM
Dikemaskini: Jun 19, 2025 12:38 AM
ADS

Polis hari ini digesa menyiasat dakwaan yang mengatakan Muhammad Yusoff Rawther kemungkinan merupakan proksi atau ejen untuk agensi perisikan Israel, Mossad.

Beberapa NGO membuat gesaan itu susulan kenyataan bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu pada 2017 yang menyokong kewujudan Israel, serta penolakannya terhadap tuntutan negara Arab ke atas Baitulmaqdis.

MalaysiaGazette melaporkan dakwaan kumpulan itu bahawa kenyataan Yusoff masih boleh diakses di portal berita antarabangsa Israel berkenaan.

Ahli sekretariat Nadi Gemilang Amal Dzul Hilmi Zainol dilaporkan berkata perkara itu menimbulkan kebimbangan serius tentang kemungkinan campur tangan asing.

“Kami hadir untuk membuat laporan polis dan mendesak siasatan terhadap Yusoff Rawther.

“Adakah beliau sebenarnya ejen Mossad yang menyusup masuk ke dalam masyarakat Malaysia dengan membawa agenda asing?

“Negara itu (Israel) tidak pernah kita iktiraf, malah ditolak keras oleh majoriti rakyat Malaysia atas jenayah kemanusiaan yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin,” katanya dipetik sebagai berkata di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini.

Dzul Hilmi memberi amaran bahawa kenyataan itu bukan sahaja bersifat provokatif, malah mencadangkan kewujudan rangkaian tempatan yang bersimpati kepada rejim Zionis.

“Lebih mengejutkan apabila masih ada pemimpin politik dan peguam tempatan yang tampil membela beliau.

“Situasi ini seolah-olah kenyataan tersebut tidak menjadi satu masalah besar,” tambahnya.

Laporan mereka dibuat enam hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Yusoff daripada tuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol palsu.

Jabatan Peguam Negara, yang sejak itu memfailkan rayuan terhadap pembebasan itu, sebelum ini menggesa orang ramai berhenti membuat spekulasi dan menyebarkan fitnah, di tengah-tengah desakan supaya Yusoff menyaman polis dan Kementerian Dalam Negeri.

Menurut MalaysiaGazette, turut hadir peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, yang menasihatkan Yusoff supaya tidak membenarkan dirinya digunakan oleh kepentingan asing.

“Kalau benar apa yang anda perjuangkan, berdiri atas kaki sendiri. Jangan jadi alat sesiapa, apatah lagi kepada negara yang menindas dan membunuh rakyat Palestin. Itu sahaja nasihat saya,” katanya.

Enam wakil daripada NGO berbeza hadir untuk membuat laporan polis.

“Sekiranya benar Yusoff Rawther bertindak sebagai ejen atau proksi Israel, kita tidak boleh berdiam diri. PDRM perlu bertindak segera,” kata mereka.

Kumpulan itu menegaskan bahawa laporan itu bukan bertujuan untuk memfitnah Yusoff, tetapi difailkan bagi mempertahankan kedaulatan negara dan selaras dengan sentimen rakyat Malaysia yang terus bersama Palestin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen