malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cari tepung, dapat peluru – Penduduk diserang ketika tunggu bantuan
Diterbitkan:  Jun 18, 2025 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM
ADS

Hampir semua kematian dan kecederaan terbaru di Gaza sejak beberapa hari lalu berpunca daripada tindakan berkaitan pengagihan bantuan — bukan serangan terhadap pejuang Hamas, menurut saksi dan petugas kemanusiaan.

BBC melaporkan antara serangan berdarah itu berlaku berhampiran satu simpang utama di timur Khan Younis, lokasi ribuan penduduk Palestin berkumpul untuk mendapatkan tepung daripada pusat agihan Program Makanan Dunia (WFP) yang turut menempatkan dapur komuniti.

Menurut wartawan tempatan dan beberapa saksi, pesawat tanpa juruterbang Israel melepaskan dua peluru berpandu ke arah orang ramai, sebelum sebuah kereta kebal yang berada kira-kira 400 hingga 500 meter dari lokasi melepaskan tembakan meriam. Letupan itu mengorbankan dan mencederakan ramai.

“Orang datang kerana lapar. Bukan untuk berperang,” kata seorang penduduk yang berada di lokasi ketika serangan berlaku.

Perang antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, yang bermula sejak Oktober 2023 sudah memusnahkan sebahagian besar Semenanjung Gaza, sehingga mengakibatkan kekurangan kritikal makanan, bahan api dan air.

Sementara itu, AFP memetik tentera Israel, dalam kenyataan ringkas memaklumkan sedang menyiasat laporan mengenai beberapa individu yang cedera akibat serangan mereka.

Ia turut menyatakan bahawa satu perhimpunan dikenal pasti berhampiran trak pengagihan bantuan yang tersangkut berhampiran kedudukan pasukan Israel.

Di Rafah, juga di selatan Gaza, pertahanan awam melaporkan empat individu terbunuh akibat tembakan Israel, manakala dua lagi terbunuh dalam serangan peluru berpandu berhampiran sebuah hospital di Bandar Gaza, di utara.

Kementerian Kesihatan Gaza mengutuk tragedi itu sebagai pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat susulan serangan peluru ke arah orang awam.

"Puluhan mayat masih bergelimpangan di tanah dan ada yang hancur berkecai akibat peluru yang jatuh tepat di tengah-tengah orang ramai," kata seorang pegawai kementerian pada sidang media.

Serangan berlaku ketika Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel, mula mengagihkan bantuan, namun operasi mereka sering diganggu sejak hari pertama lagi.

Bagaimanapun, GHF memaklumkan kes serangan terbaharu itu tidak berlaku di tapak bantuannya sebaliknya berhampiran lokasi Program Makanan Dunia (WFP) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

GHF dalam kenyataan berkata pasukannya telah mengagihkan dua juta hidangan semalam tanpa sebarang kes dan hampir 28 juta hidangan sejak memulakan operasi.

PBB menolak sistem pengagihan oleh GHF, menyifatkannya sebagai tidak memadai, berbahaya dan melanggar prinsip kemanusiaan yang saksama.

Israel mempertahankan sistem itu sebagai langkah bagi menghalang Hamas daripada menyalahgunakan bantuan, namun dakwaan itu dinafikan oleh Hamas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen