Kumpulan belia bebas Mandiri mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas sikap yang disifatkannya sebagai “hipokrit” berhubung anak muda yang bersuara menentang rasuah di negara ini.
Pengarah Mandiri, Wong Kueng Hui, meluahkan rasa kesal terhadap siasatan polis terhadap Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, susulan penglibatannya dalam perhimpunan anti-rasuah bulan lalu.
Wong memetik kenyataan Anwar sebelum ini yang menggesa anak muda agar berani memerangi rasuah.
"Bila PM kata anak muda patut berani bersuara menentang rasuah, itu yang kami buat hari ini, kita teruskan buat hari ini, tapi kami pula dipanggil untuk siasatan.
"Ini satu bentuk hipokrasi yang kami tak boleh terima,” katanya kepada media selepas menemani Amira memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.
Wong berkata perhimpunan yang dijadual pada 28 Jun ini akan tetap diteruskan seperti dirancang, sambil menegaskan anak muda tidak akan berundur dalam usaha menentang rasuah.
"Kalau ini satu bentuk intimidasi untuk kongkong suara anak muda, ia tidak akan berkesan. Kami akan tetap terus turun ke jalan,” tegasnya.
Wong dipercayai merujuk kepada "Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0" anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, yang bertujuan mendesak kerajaan mempercepat reformasi institusi dalam memerangi rasuah.
Amira sebelum ini dipanggil polis susulan ucapannya dalam perhimpunan pada 24 Mei lalu yang menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki meletakkan jawatan.

Sementara itu Amira membidas siasatan terhadapnya dan menyifatkan tindakan itu bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Dia turut menyuarakan kebimbangan bahawa rakyat biasa juga mungkin menerima nasib sama hanya kerana menyuarakan kritikan terhadap kerajaan.
“Apa jaminan bahawa rakyat biasa di bawah pentadbiran Anwar dibenarkan mempersoalkan keputusan kerajaan? Adakah kita sedang menuju ke arah negara autokratik?
“Kami undi Pakatan Harapan dengan harapan mereka berbeza dari kerajaan dulu, tapi sekarang nampaknya sama sahaja — kalau tidak lebih teruk,” katanya kepada pemberita.
Dalam kenyataannya, Amira berkata siasatan ke atasnya dibuat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghina dengan niat mencetuskan gangguan awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Dia menyifatkan seksyen tersebut sebagai ‘Akta Sakit Hati’, dan mendesak kerajaan supaya mengenakan moratorium ke atas semua siasatan di bawah akta itu serta mengemukakan garis masa jelas bagi pemansuhannya di Parlimen.
“Wakil rakyat PH yang dulu kononnya perjuangkan suara rakyat tidak boleh terus membisu. Dulu kamu pertahan hak rakyat untuk bersuara, sekarang kamu pula menyokong kerajaan yang mahu menyekat suara mereka,” tegasnya.
‘Akta Sakit Hati’ ialah gelaran sinis yang digunakan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia, khususnya Seksyen 233, yang sering dikritik kerana tafsirannya yang terlalu umum dan mudah disalahguna untuk menekan suara pembangkang atau pengkritik kerajaan.

