malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pendedah skandal Sabah mahu adu menantu TYT ke SPRM
Diterbitkan:  Jun 18, 2025 10:57 AM
Dikemaskini: 4:01 AM
ADS

Pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah lesen mineral melibatkan beberapa Adun di Sabah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Arifin Arif.

Peguamnya, Mahajoth Singh, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa anak guamnya akan hadir ke pejabat SPRM hari ini untuk membuat laporan rasmi.

Menurut Mahajoth, pemberi maklumat yang dikenali sebagai Albert itu turut akan disoal siasat oleh SPRM sekali lagi hari ini berhubung dakwaannya berkaitan skandal rasuah tersebut.

Siasatan hari ini diteruskan selepas sesi soal siasat panjang semalam yang bermula sekitar jam 10 pagi dan berakhir selepas jam 7 malam.

“Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan. Tiada bukti tambahan dikemukakan kerana bukti yang ada sudah mencukupi.

“Namun, anak guam saya akan membuat aduan rasmi terhadap Arifin berkenaan tawaran penyelesaian yang diberikan,” kata Mahajoth.

Difahamkan laporan SPRM yang bakal dibuat itu berkait dengan aduan Albert sebelum ini kepada polis, mendakwa Arifin membuat laporan polis palsu terhadapnya.

Sebelum ini, Albert mendakwa Arifin menawarkan satu bentuk penyelesaian untuk mendiamkannya — satu tuduhan yang dinafikan keras oleh Arifin, yang juga Adun Membakut. Arifin kemudian membuat laporan polis pada 5 Februari, mendakwa dirinya difitnah.

Albert membalas dengan membuat laporan polis terhadap Arifin keesokan harinya, dengan mendakwa Arifin membuat laporan palsu.

Semalam, Mahajoth mengkritik pihak polis kerana didakwa tidak memberi sebarang maklum balas mengenai laporan Albert, walaupun ia telah dibuat sejak awal tahun ini.

Dia turut memaklumkan bahawa satu surat telah dihantar kepada Peguam Negara, Dusuki Mokhtar pada 5 Jun di bawah Seksyen 107A(5) Kanun Tatacara Jenayah, bagi meminta arahan agar polis mengemukakan laporan status siasatan secara terperinci.

Namun, hampir dua minggu berlalu, tiada jawapan diterima.

Sebelum itu, pada April, usaha Mahajoth untuk mengetahui perkembangan siasatan daripada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Serdang, Nazaruddin Abd Razak, juga tidak berhasil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen