malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Kita tak akan bunuh Khamenei sekarang tapi kesabaran AS makin tipis’
Diterbitkan:  Jun 18, 2025 10:55 AM
Dikemaskini: 4:37 AM
ADS

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa menggesa Iran supaya menyerah diri tanpa syarat dan memberi amaran bahawa kesabaran negaranya semakin tipis.

Namun dia menegaskan tiada niat untuk membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei "buat masa ini" ketika perang udara antara Israel dan negara itu memasuki hari keenam.

Kenyataan Trump yang disampaikan melalui media sosial menggambarkan pendirian lebih agresif akan diambil terhadap Iran ketika dia mepertimbangkan sama ada untuk memperdalam penglibatan Amerika Syarikat dalam konflik ini atau tidak.

"Kami tahu dengan tepat di mana 'Pemimpin Tertinggi' itu bersembunyi," tulis Trump di platform Truth Social.

"Kami tidak akan menghapuskannya (bunuh!) — sekurang-kurangnya belum... Kesabaran kami semakin menipis."

Tiga minit kemudian, Trump memuat naik satu lagi hantaran berbunyi: "Serah diri tanpa syarat!"

Sementara itu, Reuters melaporkan seorang pegawai tentera Israel memaklumkan bahawa kira-kira 10 peluru berpandu balistik telah dilancarkan dari Iran ke arah Israel pada awal pagi Rabu. Bagaimanapun kebanyakan daripadanya berjaya dipintas.

Letupan turut kedengaran di ruang udara Tel Aviv. Media Iran pula melaporkan bunyi letupan juga kedengaran di Tehran dan di bandar Karaj yang terletak di barat ibu negara tersebut.

AFP pula memetik Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, sebagai memberi amaran bahawa Khamenei, boleh menerima nasib yang sama seperti Presiden Iraq, Saddam Hussein, yang digulingkan melalui serangan ketenteraan pimpinan AS dan digantung selepas perbicaraan pada 2006.

"Saya memberi amaran kepada Iran supaya tidak terus melakukan jenayah perang dan menembak peluru berpandu ke arah rakyat Israel," kata Katz kepada barisan kepimpinan tentera Israel.

Trump sebelum ini berkata dia mungkin akan menghantar Duta AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, atau Naib Presiden JD Vance untuk bertemu pegawai Iran. Dia juga menegaskan bahawa kepulangannya lebih awal dari sidang kemuncak G7 di Kanada “tidak ada kaitan” dengan usaha rundingan gencatan senjata, sebaliknya menyatakan bahawa sesuatu yang “jauh lebih besar” dijangka berlaku.

Sebelum ini, ramai penasihat utama Khamenei dalam bidang ketenteraan dan keselamatan dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel, sekali gus melemahkan barisan dalamannya.

Tentera Israel antara lain mendakwa mereka sudah membunuh Ketua Turus Perang Iran, Jeneral Ali Shadmani, empat hari selepas dia dilantik menggantikan seorang komander kanan lain yang turut terbunuh dalam serangan terdahulu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen