malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malaysia catat prestasi buruk dalam hak pendidikan
Diterbitkan:  Jun 18, 2025 9:07 AM
Dikemaskini: 1:07 AM
ADS

Satu laporan yang dikeluarkan oleh Inisiatif Pengukuran Hak Asasi Manusia (HRMI) yang berpangkalan di New Zealand menunjukkan kerajaan Malaysia ketinggalan dalam menjamin hak pendidikan.

Berdasarkan pendapatan negara, Malaysia hanya mencapai 64.4 peratus daripada potensi hak pendidikan untuk lelaki, dan 70.7 peratus untuk wanita.

Walaupun skor wanita lebih tinggi, perunding HRMI bagi Asia Tenggara, Keshia Mahmood menegaskan bahawa kedua-duanya tergolong dalam kategori “amat teruk”.

“Data HRMI menilai sejauh mana kerajaan memenuhi obligasi hak asasi manusia mereka, berdasarkan sumber yang mereka miliki (pendapatan negara atau KDNK per kapita).

“Dengan kata lain, kami mengukur keberkesanan sesebuah negara dalam menggunakan sumber sedia ada untuk memastikan keputusan hak asasi manusia yang baik untuk rakyatnya.

“Sebagai contoh, skor 60 peratus untuk hak kepada pendidikan tidak bermaksud hanya 60 peratus kanak-kanak bersekolah.

“Sebaliknya, ia bermaksud kerajaan hanya mencapai 60 peratus daripada apa yang mungkin boleh dicapai berdasarkan tahap pendapatannya,” jelas Keshia.

Pagi ini, HRMI mengeluarkan laporan Rights Tracker 2025, yang menganalisis kerajaan dalam tiga kategori: kualiti hidup, keselamatan daripada negara, dan pemerkasaan.

Hak pendidikan tergolong dalam kategori kualiti hidup.

Dalam kalangan negara Asean, Malaysia berada di tangga ketiga tercorot dengan skor keseluruhan 67.5 peratus bagi hak pendidikan, dan hanya mengatasi Brunei (62.4%) dan Laos (58.5%).

Negara dengan skor lebih tinggi ialah Vietnam (97.2%), Singapura (95.2%), Myanmar (87.3%), Kemboja (79.9%), Thailand (77.8%), Indonesia (77.3%), dan Filipina (67.7%).

“Melihat pada graf prestasi dari masa ke semasa, prestasi Malaysia kekal statik dalam sedekad lalu: 67.2 peratus pada 2010 dan 67.5 peratus pada 2022,” kata Keshia.

Antara golongan yang paling berisiko dicabuli hak pendidikannya termasuk:

Pendatang dan/atau imigran

Individu tanpa identiti sah (seperti pelarian dan individu tanpa kerakyatan)

Orang kurang upaya

Individu dengan status sosioekonomi rendah

Kanak-kanak jalanan atau remaja gelandangan

Masyarakat Orang Asli

Dalam kategori kualiti hidup, Malaysia didapati menunjukkan prestasi baik dalam hak kepada pekerjaan, dengan pencapaian 99.8 peratus. Ia juga memperoleh 90.8 peratus dalam hak kepada perumahan.

Namun, skor paling rendah dicatatkan dalam hak kepada makanan, iaitu 63.9 peratus.

Secara keseluruhan, dalam kategori ini, Malaysia mencatatkan skor 79.1 peratus, sedikit di bawah penarafan “sederhana”.

Dari segi keselamatan daripada negara, skor keseluruhan Malaysia ialah 7.1 daripada 10, antara “sederhana” dan “baik”.

Subkategori tertinggi ialah kebebasan daripada kehilangan paksa (8.5), diikuti dengan pembunuhan di luar undang-undang (6.8), tangkapan sewenang-wenangnya (5.9), dan penyeksaan serta layanan buruk (5.8).

HRMI berkata skor keseluruhan menunjukkan bahawa sebahagian besar penduduk tidak menikmati kebebasan ini sepenuhnya.

Namun, data menunjukkan bahawa prestasi Malaysia adalah lebih baik daripada purata negara serantau yang lain.

Kebebasan sivil, hak politik

Dalam kategori pemerkasaan pula, Malaysia hanya mencatatkan skor 4.8 daripada 10.

“Skor pemerkasaan Malaysia yang hanya 4.8 daripada 10 menunjukkan bahawa ramai rakyat tidak menikmati kebebasan sivil dan hak politik mereka (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan, hak demokratik, serta kebebasan beragama dan kepercayaan),” menurut laporan itu.

Skor tertinggi dalam subkategori pemerkasaan ialah penyertaan dalam pemerintahan (5.9), berhimpun dan berpersatuan (4.7), agama dan kepercayaan (4.5), serta pendapat dan ekspresi (4.2).

“Bagi hak sivil dan politik, kami tidak mempunyai data mencukupi di seluruh Asia Timur dan negara Pasifik untuk membolehkan perbandingan serantau.

“Namun, berbanding dengan negara lain dalam sampel kami, Malaysia menunjukkan prestasi hampir kepada purata bagi hak pemerkasaan,” jelas laporan itu.

Laporan ini dihasilkan selepas meninjau pendapat pakar hak asasi manusia tempatan mengenai tindakan kerajaan sepanjang tahun lalu.

Ia menggunakan takrif hak asasi manusia berdasarkan undang-undang antarabangsa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen