malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SST buah import: Beban mungkin menyusup tekan B40, kata pakar
ADS

Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan import seperti epal, oren dan pisang terus menerima teguran daripada orang ramai.

Kali ini melibatkan pakar ekonomi dan kumpulan pengguna yang memberi amaran terhadap kesan berantai kepada masyarakat terbanyak termasuk golongan berpendapatan rendah.

Menurut mereka, walaupun buah-buahan import sering dikaitkan dengan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi, impak daripada SST itu tetap boleh ‘menyusup masuk’ ke atas golongan B40 melalui perubahan harga dalam pasaran keseluruhan.

Penasihat Ekonomi Kingsley Strategic Institute (KSI), Anthony Dass, berkata cadangan kerajaan memperluas skop SST wajar dikaji dengan lebih mendalam kerana kesannya bukan hanya terhad kepada pengguna yang membeli buah import secara langsung.

“Walaupun buah-buahan import bukan pilihan utama golongan B40, langkah tersebut masih perlu dikaji dengan teliti kerana sebahagian daripada golongan B40 bandar tetap membeli buah import murah, terutamanya apabila harga buah tempatan naik atau bekalan terputus.

“Ia juga boleh memberi kesan tidak langsung.

"Contohnya, apabila golongan lain beralih kepada buah tempatan, harga buah tempatan naik dan memberi tekanan semula kepada B40,” katanya kepada Malaysiakini.

Anthony Dass

Dass berkata, walaupun golongan B40 lazimnya membeli buah tempatan dan hanya sesekali membeli buah import iaitu semasa promosi atau keadaan tertentu, mereka tetap terdedah kepada impak jangka panjang.

“Jika M40 dan T20 beralih kepada buah tempatan kerana buah import lebih mahal, permintaan akan melonjak dan akhirnya harga buah tempatan naik.

"Ini akan menyempitkan pilihan untuk B40 dan memaksa mereka mengurangkan pengambilan buah secara keseluruhan,” katanya.

Dass turut mengkritik pendekatan pukal dalam pelaksanaan SST yang didakwanya tidak mengambil kira variasi gred dan saluran pasaran buah-buahan.

Katanya tidak adil untuk melabel semua buah import sebagai barangan mewah dan dikenakan SST secara sama rata.

Pisang, misalnya, kata ahli ekonomi itu, merupakan sejenis buah yang dianggap buah-buahan rakyat dan tidak wajar dikenakan SST langsung.

Pilih makanan kurang sihat

Epal dan oren pula, katanya, mempunyai pelbagai jenis – daripada yang mahal atau premium sehingga yang dijual secara longgok di pasar malam.

"Ini perlu dibezakan,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan rasa tidak senang ahli perniagaan terkenal, Ameer Ali Mydin, yang menganggap langkah kerajaan mengenakan SST ke atas semua buah-buahan import sebagai sesuatu yang "tidak masuk akal."

Kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu, tidak seperti tanggapan sesetengah orang, ada antara buah-buahan import itu turut digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.

Menurut Ameer, buah-buahan seperti epal dan oren - malah pisang - sering dikaitkan dengan amalan pemakanan yang sihat.

Malah, katanya, ketika menziarahi seseorang yang uzur di hospital, buah-buahan seperti itulah yang menjadi pilihan sebagai buah tangan, justeru ia menunjukkan produk pertanian sebegitu penting kepada masyarakat.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Marimuthu Nadason, pula menyifatkan langkah kerajaan itu tidak wajar dan bercanggah dengan kempen galakan kesihatan awam.

Katanya apa yang kerajaan buat sekarang memang tak wajar dan mungkin tidak melalui kajian yang menyeluruh sehingga kelihatan bercanggah dengan kempen Kementerian Kesihatan yang menggalakkan rakyat mengambil buah-buahan untuk menyeimbangkan pola pemakanan masing-masing.

Marimuthu Nadason

“Tetapi kalau harga buah makin mahal, bagaimana orang nak ikut nasihat itu? Apabila tak mampu beli buah, rakyat akan beralih kepada makanan tidak berkhasiat.

“Kalau rakyat tak mampu beli buah kerana harga makin mahal, mereka mungkin akan beralih kepada makanan yang tidak seimbang.

"Akibatnya, risiko jatuh sakit meningkat, dan ini akhirnya boleh menaikkan kos perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Iqmal Hisham Kamaruddin, mengakui SST ke atas buah import mungkin akan memberi kesan kenaikan harga dalam jangka pendek.

Pun begitu, katanya, orang ramai wajar melihat kepada potensi faedah untuk negara dan rakyat dalam jangka panjang.

“Kalau kita lihat, disebabkan buah-buahan import dijangka menjadi lebih mahal dalam masa terdekat, ia mungkin akan membuka peluang untuk pengeluaran buah-buahan tempatan ditingkatkan pada masa hadapan.

“Ini kerana apabila harga buah import naik, akan wujud ruang bagi kita untuk menyokong pengeluaran buah-buahan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap produk yang sebelum ini diimport," katanya.

Iqmal Hisham Kamaruddin

Iqmal Hisham yang juga Timbalan Pengarah Pusat Libat Sama Masyarakat dan Jaringan Industri di Usim menambah, pada jangka masa pendek memang akan wujud gangguan harga di pasaran apabila SST dikenakan ke atas buah-buahan import.

Akibatnya, kata Iqmal Hisham, ia akan memberi tekanan kepada perbelanjaan isi rumah.

Untuk memahamkan konflik itu, Iqmal Hisham berkata, ia boleh diandaikan dengan situasi kekurangan beras tempatan dalam negara baru-baru ini dan mengingatkan agar langkah kawalan diambil.

"Apabila kita dikenakan caj ke atas beras import dan kawal harga beras tempatan, banyak berlaku penyelewengan dan akhirnya timbul masalah kekurangan bekalan di pasaran.

"Saya bimbang kesan yang sama boleh berlaku terhadap buah-buahan rakyat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen