malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Iran gesa badan pemantau nuklear PBB ambil tindakan terhadap Israel
ADS

Iran menggesa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan terang-terangan Israel ke atas wilayahnya.

Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata IAEA seharusnya mengecam tindakan Israel dan mencegah sebarang pelanggaran lanjut terhadap undang-undang antarabangsa.

"Israel, sebagai negara yang bukan ahli Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), menyerang negara yang merupakan ahli NPT. IAEA perlu mengambil pendirian yang sangat tegas terhadap Israel dan menghentikan pencerobohan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu kira-kira 50 wakil NGO Malaysia semasa lawatan solidariti ke Kedutaan Iran di Kuala Lumpur semalam.

Lawatan itu diketuai oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Ketika ditanya sama ada Iran akan keluar daripada NPT, Valiollah menegaskan yang Iran kekal komited kepada perjanjian itu

Iran menjadi anggota NPT sejak 1970.

Pada Isnin lalu, Iran menyatakan pihak berkuasa negara itu akan memutuskan sama ada akan menarik diri daripada NPT, susulan laporan IAEA yang mendapati Iran melanggar kewajiban nuklearnya buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

Sementara itu, Azmi berkata Mapim akan mengadakan satu perhimpunan aman sebagai tanda solidariti bersama rakyat Iran pada 20 Jun ini.

Kumpulan itu dijangka berarak dari Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat ke Kedutaan Amerika Syarikat dan akan menyerahkan nota bantahan menyatakan pendirian dan tuntutan mereka berhubung konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.

Ketegangan serantau meningkat sejak Jumaat lepas selepas Israel melancarkan serangan udara serentak ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen