malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peluasan SST: Naratif kerajaan ‘Robin Hood’ hanya sandiwara - Muhyiddin
Diterbitkan:  Jun 17, 2025 6:16 PM
Dikemaskini: 10:16 AM
ADS

PN menyifatkan naratif kerajaan bahawa peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menyasarkan golongan kaya dengan hasilnya akan diagihkan kepada golongan miskin seperti “Robin Hood” hanyalah sandiwara.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin mendakwa daripada 8,094 barangan yang dikecualikan daripada SST sebelum ini, hanya 1,813 barangan yang masih dikecualikan.

“Lebih 90 peratus barangan telah dikenakan SST. Ini termasuk barangan keperluan asas seperti gula, garam, ikan, sayur dan buah-buahan.

“Buah epal, pisang dan oren pun dikenakan cukai. Ini bukan makanan orang kaya. Ia sejak zaman berzaman adalah makanan rakyat biasa.

“Kononnya kerajaan Madani hanya mengenakan cukai ke atas golongan maha kaya dan mengagihkannya semula kepada golongan miskin seperti “Robin Hood” hanyalah sandiwara. Ia ternyata suatu pembohongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan perluasan SST terhadap beberapa kategori buah-buahan import dan langkah itu mendapat reaksi rencam, termasuk wujudnya kebimbangan ia akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

Rancangan itu diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 18 Okt tahun lalu oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim.

Dua hari lalu, Anwar mempertahankan langkah itu yang menurutnya bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu membangkitkan langkah penyasaran subsidi diesel sebelum ini serta penyelarasan subsidi RON95 dan cadangan kenaikan tarif elektrik, yang menurutnya akan menambah beban rakyat.

Dia berkata peluasan SST semata-mata bagi menambahkan hasil kerajaan sebanyak RM10 bilion  adalah tindakan “mencekik darah rakyat” dan tidak pernah dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Ini adalah petanda bahawa kerajaan gagal mengurus ekonomi dengan baik. Apabila ekonomi tidak diurus dengan baik, hasil negara berkurang. 

“Walaupun dikatakan bersasar, kesan kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup akibat peluasan skop cukai dan penghapusan subsidi akan dirasai oleh seluruh rakyat. 

“Kesan bertimpa-timpa ini akan menyeksakan rakyat di peringkat bawah dan pertengahan yang merupakan 85 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia,” katanya lagi.

Justeru, dia berkata kerajaan sepatutnya menunggu peluasan SST sehingga pembentangan Belanjawan 2026 agar ia boleh dibahaskan di Dewan Rakyat.

Muhyiddin juga mencadangkan pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai langkah alternatif, dengan libat urus menyeluruh dilaksanakan terlebih dahulu.

“Saya percaya SST dalam bentuk yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini adalah lebih buruk kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara berbanding dasar GST yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Dia juga menggesa peluasan SST dan cadangan kenaikan tarif elektrik dibatalkan. 

“Kerajaan mesti mencari kaedah lain untuk mengatasi masalah fiskal negara, bukan dengan berterusan membebankan rakyat.

“Tugas kerajaan ialah meringankan beban rakyat, bukan menambah beban mereka. Jika perkara yang paling asas ini pun tidak dapat dilaksanakan, maka kerajaan Madani telah gagal dan wajar ditolak oleh rakyat,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen