PSM hari ini mengingatkan betapa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan antara faktor utama tumbangnya kerajaan BN pada 2018, di tengah langkah kerajaan untuk meluaskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada masa ini.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM K Arveent mempersoalkan langkah untuk meluaskan SST merangkumi buah-buahan import seperti epal, limau dan anggur.
“...Wahai Menteri Kewangan (Anwar Ibrahim), itu pun makanan orang kayakah?
“Di Malaysia, sebanyak 60 peratus makanan ruji diimport mengikut statistik Jabatan Perangkaan. Impak peningkatan SST ini kepada rakyat biasa yang terpaksa membeli barangan import amat ketara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Arveent, PSM melihat kerajaan yang takut untuk meningkatkan cukai terhadap golongan kaya tetapi dengan mudah melakukannya terhadap makanan orang ramai sebagai “kerajaan zalim”.
“Kami perjuangkan cukai kekosongan hartanah, peningkatan cukai korporat dan cukai kekayaan. Kami perjuangkan tanah untuk petani tempatan supaya keluaran hasil tani negara meningkat. Kami melawan secara habis-habisan sebarang cukai penggunaan yang regresif seperti SST kini dan GST pada zaman Najib.
“PSM ingin ingatkan antara sebab tumbangnya kerajaan BN pada 2018 adalah GST yang PH juga lawan bersama kami. Rakyat tidak akan gentar tumbangkan kerajaan lain yang membawa kesengsaraan sama,” katanya lagi.
'Kerajaan konsisten kenakan cukai pada golongan kaya'
Bos Mydin gesa kerajaan kecualikan SST pada 'buah-buahan rakyat'
Kerajaan sebelum ini mengumumkan perluasan SST terhadap beberapa kategori buah-buahan import dan langkah itu mendapat reaksi rencam, termasuk wujudnya kebimbangan ia akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.
Rancangan itu diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 18 Okt tahun lalu oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim.
Dua hari lalu, Anwar mempertahankan langkah itu yang menurutnya bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya.
Dia antara lain memberi gambaran keputusan itu hanya akan memberi kesan kepada mereka yang memakan buah-buahan mahal seperti avokado.
“Anwar pula sempat berjenaka bahawa jika hendak makan buah avocado patutlah kita bayar lebih.
“Sandiwara Madani seolah-olah hanya menekan orang kaya jelas tidak ikhlas,” kata Arveent lagi.

