malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perkembangan kes Najib antara agenda mesyuarat Pemuda Umno Pekan
ADS

Perkembangan terkini kes membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak, menjadi antara agenda yang akan dibentangkan pada mesyuarat Pemuda Umno Pekan, hujung minggu ini.

Penerangan itu akan dilakukan pegawai khas Najib, Muhammad Mukhlis Maghribi semasa majlis perasmian mesyuarat berkenaan di Institut Kemahiran Mara Tan Sri Yahya Ahmad, dekat Pekan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda Umno Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed.

Dia yang yang berkongsi atur cara mesyuarat sayap Umno itu dengan media turut memaklumkan Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Kamil Ibrahim, dijadual merasmikan mesyuarat tersebut.

Difahamkan, penerangan kes itu turut menyentuh tindakan bekas ahli parlimen Pekan terbabit membuat laporan polis terhadap bekas peguam negara, Ahmad Terrirudin Salleh, berhubung isu titah adendum, semalam.

Laporan polis berkenaan dibuat Najib melalui peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dalam laporan tersebut, Najib menuduh Terrirudin “secara sengaja” mengelirukan mahkamah tinggi dengan menyatakan bahawa kewujudan titah tambahan diraja itu hanyalah spekulatif.

"Semasa pendengaran, Terrirudin mengarahkan peguam persekutuan untuk membantah permohonan atas alasan bahawa ia ‘bersifat spekulatif’, sekali gus memberi gambaran bahawa titah tambahan itu tidak wujud walaupun beliau sepenuhnya sedar tentang kewujudannya dan turut menyampaikan kepalsuan ini kepada mahkamah melalui surat,” kata Najib.

Sementara itu, Naib Ketua Umno Pekan, Mohd Nizar Najib, berkata mesyuarat Umno bahagian itu akan dirasmikan Pengerusi Umno Pahang merangkan Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail pada 28 Jun ini.

Mohd Nizar yang juga anak kepada Najib memaklumkan, Wan Rosdy sudah menyatakan persetujuan untuk merasmikan mesyuarat seperti tarikh tersebut.

"Bagi mesyuarat sayap - Pemuda, Puteri dan Wanita, lazimnya ketua sayap akan rasmikan.

"Macam Pemuda hujung minggu ini, saya dimaklumkan (Mohd) Kamil yang akan rasmikan, untuk Puteri dan Wanita, saya tidak pasti (siapa), tapi biasanya ketua mereka (sayap)," katanya ketika ditemui selepas satu majlis di Pahang Skills, dekat Kuantan, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen