Penyanyi lagu Sumpah, Naim Daniel, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lalu.
Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim M Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, penyanyi terbabit didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor jam 8.56 pagi, pada 19 Mei lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nurul Izzah Shaharuddin, manakala Naim Daniel diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan pasport pula diserahkan kepada mahkamah.
Hakim kemudian menetapkan kes disebut semula pada 18 Ogos depan.
Pada 4 Jun lalu media melaporkan seorang pelakon dan penyanyi terkenal ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
- Bernama

