malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Semua bukti dah bagi' tapi SPRM panggil semula pemberi maklumat
ADS

SPRM sekali lagi memanggil pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah lesen cari gali mineral yang membabitkan beberapa Adun Sabah.

Bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat agensi antirasuah itu di Putrajaya hari ini, peguam pemberi maklumat berkata anak guamnya tidak dimaklumkan mengapa suruhanjaya itu ingin berjumpanya buat kali keempat.

“(SPRM) panggil (pemberi maklumat) untuk sesi dua hari - hari ini dan esok.

"Saya tidak tahu apa lagi yang boleh kami sediakan (kepada SPRM). Setakat pengetahuan anak guam saya, semua bukti telah pun diberikan," kata peguam Mahajoth Singh.

Pemberi maklumat, yang hanya dikenali sebagai Albert, difahamkan sebelum ini telah menyerahkan kepada SPRM rakaman video yang yang tidak diedit, dengan lebih 300 muka surat bukti berkaitan, log panggilan, rekod mesej WhatsApp, dan dokumentasi digital lain yang menyokong dakwaannya.

Mahajoth (gambar atas) menegaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa tidak lama lagi berhubung skandal rasuah yang sedang berlaku.

"Berdasarkan apa yang telah diperkatakan (oleh SPRM) beberapa minggu lalu, pertuduhan akan dibuat (terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam skandal itu). Kami berharap perkara ini benar," tambahnya.

Peguam itu sebelum ini mengkritik kenyataan Azam, sambil menegaskan bahawa bukti yang diberi pemberi maklumat setakat ini menunjukkan kalangan individu yang lebih luas terlibat dalam dakwaan rasuah.

Mahajoth turut membidas polis kerana disifatkan gagal memberikan sebarang maklumat terkini berhubung laporan Albert yang menuduh menantu Tuan Yang Terutama Sabah, Arifin Arif, memfailkan laporan polis palsu.

Mengulangi dakwaan bahawa pihak berkuasa membisu mengenai perkara itu sejak laporan Albert difailkan pada awal Februari, peguam itu berkata dia dan anak guamnya masih tidak tahu mengenai status siasatan.

“Sejak empat bulan lalu, kami sentiasa berwaspada dan cuba melakukan tindakan susulan dengan pihak polis, (tetapi) sehingga hari ini, kita kembali dalam siatuasi yang sama.

"Tiada kemas kini daripada polis, yang tidak mengambil kenyataan (Albert mengenai laporan itu)," kata Mahajoth hari ini.

Tambahnya, dia telah menulis surat kepada Peguam Negara Dusuki Mokhtar pada 5 Jun di bawah Seksyen 107A(5) Kanun Prosedur Jenayah berkaitan kuasa pendakwa raya mengarahkan polis menyediakan laporan status siasatan terperinci.

Bagaimanapun, hampir dua minggu kemudian, Mahajoth berkata dia masih belum menerima maklum balas mengenai perkara itu.

“Dalam surat kepada peguam negara, disebutkan bahawa empat bulan telah berlalu sejak laporan (Albert), yang disokong oleh bukti yang kukuh.

“Kami tidak tahu kenapa mereka (pihak berkuasa) mengambil pendekatan ini... beritahu kami apa yang berlaku dengan laporan itu,” keluhnya.

Dia menegaskan bahawa Seksyen 182 Kanun Keseksaan menjenayahkan tindakan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam, dengan amaran terhadap kesalahan itu dipamerkan di setiap balai polis.

Pada April lalu, peguam itu menulis surat kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Serdang Nazaruddin Abd Razak untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung laporan itu.

Surat itu turut disalin kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain, dan pegawai penyiasat kes yang berpangkalan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan dakwaan ahli perniagaan yang menjadi pemberi maklumat itu bahawa Arifin telah menawarkan penyelesaian kepadanya untuk menutup mulutnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan, dan membuat laporan polis pada 5 Feb dengan mendakwa dia telah dituduh secara salah.

Pemberi maklumat kemudiannya telah memfailkan laporan polis terhadap Arifin pada keesokan paginya, menegaskan bahawa Arifin telah membuat laporan palsu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen