malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCA ibarat 'gali kubur sendiri' jika keluar BN, kata Puad
ADS

Di tengah desakan dalam MCA agar parti itu keluar daripada BN dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, beberapa pemimpin Umno menggesa MCA menilai semula tahap relevannya dalam politik dan realiti semasa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi berkata MCA seharusnya tidak sukar untuk memahami rasional kerjasama BN dengan PH dan parti lain dalam kerajaan.

“Bukan susah untuk MCA melihat arah tuju BN dalam menghadapi PRU16. Pilihan raya kecil lalu menunjukkan bagaimana kerjasama antara parti dalam kerajaan diterjemahkan dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Dia berkata keputusan PH dan BN untuk turut bekerjasama dalam PRN Sabah akan datang telah dinyatakan secara terbuka.

Walaupun MCA ada hak untuk menentukan hala tuju politiknya, Puad mengingatkan bahawa langkah keluar daripada BN ibarat "menggali kubur sendiri".

Dia mengingatkan MCA bahawa konfigurasi politik semasa hanya berlaku selepas tiada gabungan yang mendapat majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15.

“MCA perlu ingat senario politik ini tidak akan berlaku jika BN tidak hilang banyak kerusi – termasuk MCA yang hanya menang dua kerusi dalam pilihan raya lalu.

“Sebab itulah MCA perlu membuktikan kemampuannya dengan menang satu atau dua kerusi dalam PRN Sabah akan datang.

“Sudah tentu Umno mahu MCA kekal dalam BN. Tetapi jika MCA memilih untuk keluar, maka parti itu benar-benar sedang menggali kuburnya sendiri,” katanya lagi.

“Sabar dan bersama bina semula BN’

Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros pula menyeru MCA agar bersabar serta bekerjasama dengan Umno dan MIC untuk membina semula kekuatan BN.

Dia memahami kebimbangan MCA terhadap aturan politik pada masa ini, namun menegaskan parti itu juga perlu memahami cabaran yang dihadapi Umno.

Noor Azleen Ambros

“Saya secara peribadi tidak merasakan bahawa sokongan orang Melayu terhadap Umno semakin baik.

“Namun, untuk jangka masa panjang, saya juga tidak fikir Umno mahu terus menjadi pihak nombor kedua dalam pentadbiran negara.

“Kita sepatutnya bimbang jika keadaan ini akhirnya menjadi norma baru,” katanya.

Walaupun kebangkitan semula Umno akan mengambil masa, kata Azleen, komponen BN harus kekal bersatu.

“Bolehkah MCA sabar sedikit, berbanding mahu semua keputusan berpihak kepada mereka dalam pilihan raya akan datang.

“Mampukah Umno, MCA dan MIC berkongsi aspirasi bersama untuk mengembalikan dominasi BN dan memimpin semula negara?” soalnya.

‘Hormati konsensus pasca-PRU15’

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT Umno Nur Jazlan Mohamed mengingatkan MCA bahawa peranan BN pada masa ini berakar pada usaha menyelesaikan kebuntuan politik selepas PRU15.

Menurutnya, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah membuka jalan kepada penubuhan kerajaan perpaduan, dan sebarang kerjasama masa depan harus berpandukan kerangka perkongsian kuasa sedia ada dan bukannya kepentingan parti secara individu.

“Masih ada dua tahun setengah untuk menilai pencapaian kerajaan, jika ia mampu meyakinkan rakyat untuk terus memberikan sokongan.

“Perkembangan di peringkat dunia menjadikannya lebih rumit. Maka, penilaian akan dibuat secara kerap dan sangat bergantung kepada pandangan awam,” katanya yang merupakan timbalan pengerusi BN Johor.

Rasa tak puas hati dalam MCA

Sebelum ini, beberapa pihak dalam MCA menyuarakan gesaan agar parti itu memutuskan hubungan dengan BN dan kerajaan persekutuan.

Pada April lalu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menyeru agar parti itu "menentukan masa depannya sendiri” jika BN terus menangguhkan keputusan yang jelas mengenai hala tujunya.

Pada minggu lalu pula, MCA meluluskan usul dalam mesyuarat perwakilan yang menggesa kepimpinan pusat parti itu untuk berundur daripada BN dan kerajaan.

Usul tersebut antaranya menyeru kepimpinan parti supaya membina semula haluan politik yang bebas dan autonomi.

Usul itu juga menggesa kepimpinan parti untuk mempertahankan prinsip politik dan memutuskan sepenuhnya hubungan dengan DAP, serta menolak sebarang bentuk kerjasama.

Susulan itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi malam tadi memberi jaminan bahawa semua parti komponen akan diberi peruntukan kerusi untuk bertanding pada PRU16.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen