Ahli perniagaan terkenal, Ameer Ali Mydin, menganggap langkah kerajaan mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan import sebagai sesuatu yang "tidak masuk akal."
Kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu, tidak seperti tanggapan sesetengah orang, ada antara buah-buahan import itu turut digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.
Menurut Ameer, buah-buahan seperti epal dan oren - malah pisang - sering dikaitkan dengan amalan pemakanan yang sihat.
Malah, katanya, ketika menziarahi seseorang yang uzur di hospital, buah-buahan seperti itulah yang menjadi pilihan sebagai buah tangan, justeru ia menunjukkan produk pertanian sebegitu penting kepada masyarakat.
“Saya memang tak setuju dan tak masuk akal jika buah asas macam epal, oren, pisang dan lain-lain kena SST. Semua ni makanan (golongan) B40,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Walaupun ada hujah mendakwa buah-buahan sebegitu turut dihasilkan di dalam negara, Ameer berkata, pengeluaran semasa di Malaysia masih tidak mencukupi sehingga ia perlu diimport.
"Pisang, contohnya - memang ada sumber tempatan, tetapi bekalan tidak mencukupi. Sebahagian besar daripadanya juga diimport.
"Pisang ini - sama seperti epal dan oren - dianggap sebagai makanan asas rakyat, khususnya golongan B40.
“Ketika ini walaupun buah-buahan seperti epal dan oren diimport, harganya tidak terlalu mahal dan menjadi pilihan ramai, termasuk golongan berpendapatan rendah.
"Jadi, buah-buahan ini boleh kita anggap sebagai ‘buah-buahan rakyat’ — seumpama istilah ‘ikan rakyat’ yang biasa kita guna.
“Oleh itu, janganlah kita kenakan SST untuk buah-buahan rakyat,” katanya.
Buat penilaian lebih teliti
Kerajaan sebelum ini mengumumkan perluasan SST terhadap beberapa kategori buah-buahan import dan langkah itu mendapat reaksi rencam, termasuk wujudnya kebimbangan ia akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.
Rancangan itu diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 18 Okt tahun lalu oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim.
Dia berjanji skim SST baru itu - yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini - akan bersifat lebih progresif dan tidak akan membebankan rakyat biasa.
“Cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat.
"Cukai jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avokado," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan peluasan SST dengan menyatakan langkah itu bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya dan hanya memberi kesan kepada segmen tertentu.

Menurut Ameer, Putrajaya wajar membuat penilaian yang lebih teliti sebelum melaksanakan SST berkenaan.
Misalnya mengasingkan buah-buahan yang dikategorikan sebagai "buah rakyat" dengan buah-buahan mewah yang memang hanya dinikmati segelintir orang.
“Kalau mereka betul-betul nak mengenakan SST, baik mereka asingkan dari segi buah-buahan rakyat dengan buah-buah bukan rakyat,” katanya.
Ameer turut memberi amaran bahawa pelaksanaan SST ke atas buah-buahan sebegitu hanya akan menyebabkan harga produk tersebut melambung naik dan akhirnya akan menekan pengguna.
“Kalau kita gunakan SST untuk epal, oren, pisang – mampuslah semua orang, harga akan naik,” katanya.
Sementara itu bercakap mengenai Mydin, Ameer berkata, rangkaian pasar raya itu tidak akan mengenakan dua harga berbeza bagi barang yang akan dikenakan cukai pada bulan depan.
“Bagi pihak Mydin, memang kami takkan buat dua harga berbeza.
“Kalau harga tu kena cukai sekalipun, harga tu juga (yang akan dijual),” katanya.

