Seramai 59 daripada 492 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenakan tindakan tatatertib telah dibuang kerja dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad.
Katanya, kebanyakan mereka yang dikenakan hukuman berkenaan terlibat dengan kes dadah, diikuti isu integriti, jenayah, rasuah dan syariah.
"Statistik mereka yang dikenakan tindakan berkenaan juga melibatkan kesalahan disiasat atau dilakukan pada tahun sebelum 2025.
"Selain itu, dalam tempoh lima bulan ini juga seramai 671 individu ditahan kerja dan 146 lagi digantung kerja," katanya.
Azri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran hari ini. Turut hadir Ketua Polis Pahang Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai.
Azri turut memaklumkan dalam tempoh sama, JIPS menerima 2,637 aduan dan maklumat berkaitan tatakelakuan warga PDRM daripada pelbagai pihak.
Dia yang genap empat tahun mengemudi pasukan JIPS hari ini turut berterima kasih kepada masyarakat kerana terus meletakkan keyakinan kepada PDRM dengan menyalurkan aduan dan maklumat berharga.
"Berdasarkan statistik tindakan tatatertib yang telah dikongsikan, PDRM ingin memberi jaminan bahawa mana-mana pegawai polis didapati melanggar salah laku atau melakukan sebarang bentuk jenayah dan sebagainya, diambil tindakan sewajarnya tanpa kompromi," katanya.
Azri yang bakal meninggalkan pasukan Sang Saka Biru pada 26 Jun ini selepas 37 tahun berbakti turut memaklumkan aplikasi Aduan JIPS PDRM yang baru dilancarkan pada 4 Jun lalu menerima lebih 23 aduan dan memberi jaminan identiti pengadu dilindungi.
Sementara itu, Yahaya dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan atas sumbangan, komitmen, integriti dan profesionalisme ditunjukkan Azri sepanjang tempoh perkhidmatan.
Selain itu, dia memaklumkan IPD Maran mempunyai enam balai polis iaitu Balai Polis Maran, Sri Jaya, Chenor, Pekan Awah, Bandar Jengka dan Sungai Jerik, dengan jumlah keseluruhan 335 pegawai dan anggota serta pegawai awam.
Beliau berkata IPD Maran yang beroperasi sejak Dis 2012 bukan saja mencerminkan kemajuan dari segi infrastruktur, malah menjadi simbol komitmen berterusan PDRM memastikan ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.
- Bernama

