malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Konflik Iran-Israel: PM akui ada kebimbangan laluan perdagangan disekat
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui konflik antara Iran dan Israel ketika ini agak membimbangkan.

Anwar yang juga menteri Kewangan berkata ketegangan itu dibimbangi akan memberi kesan terhadap perdagangan Malaysia, terutama berhubung kemungkinan laluan perdagangan disekat.

Dia membangkitkan kemungkinan penutupan Selat Hormuz - yang terletak antara Teluk Parsi dan Teluk Oman - yang menjadi laluan penting bagi pengeksportan minyak serta gas asli cecair serta laluan perdagangan minyak dari rantau Timur Tengah.

“Tentunya (perang antara Israel dengan Iran) nampak membimbangkan, pertamanya sama ada menyekat (laluan perdagangan) atau tidak.

 “(Bagaimanapun) Setakat ini, masih ada laluan walaupun ada kebimbangan daripada syarikat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Energy Asia di Kuala Lumpur, hari ini.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 224 warga Iran terkorban, di tengah ketegangan yang kian meningkat sejak Israel melancarkan serangan pada Jumaat lalu.

Dua hari lalu, Iran dilaporkan sedang menilai dengan serius untuk menutup Selat Hormuz. 

Mengulas lanjut, Anwar berkata konflik Israel-Iran tidak semestinya memberikan kesan buruk ke atas industri minyak atau mekanisme harga bagi komoditi itu.

Anwar juga berkata dia telah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) Haitham Al Ghais serta pemain utama industri minyak di luar persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata Malaysia menggesa negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan dan memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan serangan terhadap Iran.

Katanya, tekanan kolektif seperti itu boleh mendorong Iran untuk turut menghentikan serangan balas terhadap Israel.

“Bagaimana sebuah negara boleh dengan sewenang-wenangnya dan secara ganas menyerang enam atau tujuh negara jirannya?

“Kita faham mengapa Iran merasa perlu bertindak balas demi mempertahankan kedaulatannya. Namun begitu, kita menyokong penuh usaha untuk meredakan ketegangan dan mencapai keamanan,” katanya lagi.

Rasionalisasi subsidi diteruskan

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan akan meneruskan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Anwar menyifatkannya sebagai satu keperluan kritikal untuk membantu meningkatkan infrastruktur serta kemudahan rakyat pada masa depan. 

Dia berkata penjimatan signifikan daripada rasionalisasi itu juga boleh digunakan untuk lebih banyak bantuan fiskal kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Kita sudah sebut dan saya nak tekankan sekali lagi, tiada isu bahawa peningkatan (harga) RON95 akan memberi kesan kepada 85 hingga 90 peratus rakyat kita. Ini perlu dinyatakan dengan sangat jelas.

"Adakah kita akan melakukannya? Ya, kita akan melakukannya kerana rasionalisasi  subsidi adalah sesuatu yang kritikal bagi negara.

“Kita ingin adabanyak sumber daya untuk membantu orang miskin untuk meningkatkan kualiti pendidikan untuk memberikan layanan masyarakat yang lebih baik termasuk kesihatan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen