malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda MCA puji Akmal 'bersuara untuk rakyat M'sia' kali ini
Diterbitkan:  Jun 16, 2025 1:20 PM
Dikemaskini: 5:20 AM
ADS

Pemuda MCA hari ini memuji keberanian Ketua Pemuda Umno Malaysia selepas ketua sayap Umno itu menyarankan agar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihidupkan semula.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA Jacky Kuai Sin Keong menganggap, Dr Akmal Saleh bertindak tidak seperti selalu apabila membuat kenyataan dengan menyampaikan pandangan "untuk seluruh rakyat Malaysia".

“Kali ini, Akmal bukan hanya bersuara untuk satu kaum atau parti, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Sikap sebegini harus dicontohi oleh semua ahli politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kuai, tindakan terbaru Akmal - yang juga Ketua Pemuda BN - membuktikan keberanian dan wawasan seorang pemimpin sejati.

"Kita alu-alukan lebih ramai pemimpin politik yang berani melangkaui sempadan parti demi dasar yang lebih adil dan telus," katanya lagi.

Kuai menjelaskan, Pemuda MCA memang menyokong pandangan Akmal kerana GST jelas lebih telus, berstruktur, dan mempunyai mekanisme kredit cukai input bagi mengelak cukai berganda serta meningkatkan ketelusan rantaian bekalan berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Akmal baru-baru ini mengulangi gesaan Pemuda Umno agar kerajaan melaksanakan semula GST berbanding SST sebagai alternatif untuk meningkatkan pendapatan negara.

Bebankan, bukan meringankan

Kata Akmal, kerajaan boleh menukar nama sistem cukai itu jika istilah GST dirasakan sensitif kerana yang penting langkah tersebut dapat meningkatkan hasil negara dan membantu rakyat.

Menurut Kuai, mulai 1 Julai ini kerajaan akan meluaskan skop SST secara besar-besaran merangkumi sewaan, pembinaan, kewangan, perubatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Katanya, cukai jualan untuk barangan tidak perlu akan dinaikkan kepada 5 peratus, manakala barangan mewah dikenakan sehingga 10 peratus.

Senarai barangan bebas cukai juga, tambah Kuai, dikurangkan secara drastik daripada lebih 8,000 kepada hanya 1,800.

“Langkah ini jelas membebankan rakyat, bukan meringankan.

"Rakyat tidak tolak cukai, mereka hanya mahukan sistem yang adil dan jelas.

"SST pula bersifat bertingkat menyebabkan pengguna bayar lebih tanpa mereka sedar.

"Kerajaan sepatutnya melepaskan beban janji politik masa lalu dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan fiskal negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen