malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Ini bukan pejuang, ini parasit’
Diterbitkan:  Jun 16, 2025 1:01 PM
Dikemaskini: 5:03 AM
ADS

Pemimpin Bersatu diingatkan supaya tidak menjadi ‘duri dalam daging’ dengan mencipta persepsi wujud krisis dalaman parti itu.

Adun Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menegaskan realitinya, Bersatu berada dalam keadaan tersusun dan terarah. 

"Yang mencetus gelombang kononnya mahu perubahan dalaman hanyalah watak-watak yang bernafsu mahu naik dengan jalan pintas. Mereka menanam ‘pecah dan perintah’ agar kononnya tampak relevan. Ini bukan pejuang. Ya, ini parasit.

"Maka sesiapa yang sayangkan Bersatu, pertahankan kepimpinan tertinggi. Bantu perkuat parti, bukan buang masa melaga-lagakan saf. Kalau tidak mampu jadi madu membantu, usah pula jadi racun.

"Bersatu tidak akan kuat jika dalamannya sendiri busuk dan Bersatu akan jatuh jika dikhianati oleh anak dalam rumah sendiri. Cukuplah, insaflah daripada terus jadi duri dalam daging atau parasit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhyiddin Yassin

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada laporan dakwaan terdapat suara di kalangan pemimpin Bersatu yang mahu mengenepikan Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu yang juga pengerusi PN.

Terdahulu Malaysiakini memetik sumber yang mendakwa terdapat cadangan rombakan struktur PN dengan memberi kuasa operasi besar kepada Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.

Menurut laporan itu, jawatankuasa eksekutif diketuai Hamzah akan diwujudkan manakala presiden empat parti komponen (PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP) akan terus kekal dalam Majlis Tertinggi PN sedia ada.

Sumber turut memaklumkan cadangan tersebut bertujuan menyediakan Hamzah untuk menerajui gabungan sekiranya berlaku perubahan kuasa di peringkat pusat pada pilihan raya umum akan datang.

Dua pemimpin PAS semalam, bagaimanapun menafikan perkara itu. 

Mohd Ashraf berkata, Bersatu masih teguh berdiri dengan saf kepimpinan yang tersusun dengan Muhyiddin selaku presiden dan Hamzah sebagai timbalannya, manakala Azmin Ali sebagai setiausaha agung.

Azmin (kiri) dan Hamzah, du pemimpin paling berpengaruh dalam Bersatu

Katanya, tiga sosok ini adalah tunjang utama kekuatan parti pada saat rakyat dahagakan suara pembangkang yang tegas, bersih dan bermaruah.

"Ketiga-tiga mereka bukan sekadar menjawat jawatan tinggi dalam hierarki organisasi, mereka adalah tunjang kekuatan politik Bersatu, yang mendukung tanggungjawab besar memimpin parti dengan disiplin, pengalaman dan wawasan.

"Mereka telah diuji, malah sebahagian daripada mereka pernah dicemuh, dipinggirkan, dan difitnah — namun tetap teguh berdiri membawa obor perubahan yang ikhlas untuk rakyat.

"Tetapi, apa yang menyedihkan hari ini — ada suara dari dalam sendiri, yang kononnya mahu 'selamatkan parti', tetapi sebenarnya menjadi ejen perpecahan. Disangkakan berjuang, namun tidak menyumbang apa-apa kecuali rasa curiga dan api perpecahan. Yang ditanam bukan buah fikiran demi keutuhan parti, sebaliknya racun hasad," selarnya.

Tambahnya, ketika pimpinan PH dan Umno bergelut dengan masalah kredibiliti dan retaknya dalaman PKR yang makin tidak dapat disembunyikan, dan rakyat semakin hilang kepercayaan — Bersatu sepatutnya menunjukkan contoh.

"Tapi alangkah sedihnya, ada dalam kalangan kita sendiri yang sibuk menebuk kapal dari dalam.

Apakah kita sudah lupa siapa lawan sebenar? Apakah kita sudah lupa harga perjuangan ini dibayar dengan pengorbanan ratusan ahli yang hilang jawatan dan ditindas hanya kerana enggan tunduk kepada regim lama?" soal Mohd Ashraf.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen