malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Buku Addeen tulisan Mahathir dapat pujian Hadi
Diterbitkan:  Jun 16, 2025 12:57 PM
Dikemaskini: 5:00 AM
ADS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan memuji Dr Mahathir Mohamad selepas bekas perdana menteri itu menghasilkan buku keagamaan, Addeen, dan dilancarkan secara rasmi semalam.

Portal berita rasmi PAS, Harakahdaily, melaporkan bagaimana Abdul Hadi tertarik melihat buku tulisan Mahathir kerana ia dapat "menyempurnakan tuntutan-tuntutan ad-deen" walaupun naskhah tersebut dianggap ringkas.

Dalam kata-kata penghargaan disebutkannya semasa majlis pelancaran buku tersebut di Putrajaya semalam, Abdul Hadi, 77, turut memetik hadis Rasulullah SAW berkenaan tiga elemen yang akan membantu seseorang selepas meninggal dunia.

Kata Abdul Hadi, berdasarkan kepada hadis tersebut seseorang yang meninggal dunia tidak akan mendapat sebarang manfaat lagi kecuali sesuatu ilmu yang pernah diajarkan - walaupun sedikit - serta amal jariah yang berpanjangan.

Ketika, kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, doa daripada anak-anak yang soleh.

"Mudah-mudahan Tun (Mahathir) mendapat kelebihan ini,” katanya.

Penghargaan itu disampaikan Abdul Hadi selaras dengan kemunculan buku Addeen. Ia dirasmikan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Sejumlah pemimpin kanan PAS turut dilaporkan hadir di majlis tersebut.

Media melaporkan melalui buku tersebut Mahathir - yang bakal berusia 100 tahun pada bulan depan - memberi tumpuan kepada keindahan serta kebijaksanaan al-Quran yang menjadi pedoman hidup manusia.

Mahathir dilaporkan berkata, mesej-mesej yang terkandung dalam al-Quran wajar menjadi panduan utama dalam kehidupan harian seseorang khususnya ketika masyarakat berdepan cabaran moral dan nilai kemanusiaan yang semakin rumit.

Kata Abdul Hadi dia sempat membaca buku yang ditulis Mahathir itu.

“Apa yang menarik, Tun memilih yang pertama dalam tulisannya ayat Ihdinassiratal mustaqim (yang bermaksud) Wahai Tuhan kami, tunjukkan kepada kami jalan yang lurus.

“(Ia merupakan) Doa yang diajar oleh Tuhan supaya dibaca pada tiap-tiap rakaat sembahyang, sama ada sembahyang yang wajib atau sembahyang yang sunat.

“Tunjuklah pada kami jalan yang lurus," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen