malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sumber: Ramanan bakal ketuai jawatankuasa tindakan masyarakat India
ADS

Naib Presiden PKR yang baru dipilih R Ramanan dikatakan bakal dilantik sebagai pengerusi kepada Jawatankuasa Tindakan Hal Ehwal India, dakwa seorang sumber pucuk pimpinan parti.

Dia juga mendakwa pengumuman rasmi berhubung pelantikan Ramanan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Minggu depan, Presiden PKR (Anwar Ibrahim) akan berjumpa semua pemimpin India dari PKR untuk membincangkan hala tuju parti dan kerajaan untuk masyarakat India.

"Kami percaya pengumuman berhubung jawatankuasa itu akan dibuat di sana," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, Ramanan merupakan bekas Bendahari Agung MIC dan menyertai PKR pada 2020. Pada PRU lalu dia bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh dan mengalahkan Khairy Jamaluddin.

Dia kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia. Di sebalik statusnya yang dianggap baru, Ramanan berjaya mendapatkan kepercayaan majoriti ahli PKR sehingga memenangi jawatan naib presiden untuk sesi 2025 hingga 2028.

Ramanan mengetepikan salah seorang penyandang, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga seorang menteri.

Ketika ditanya, jika Ramanan masih berpeluang dilantik sebagai menteri, sumber itu berkata: "Tidak pasti".

"Perbincangan untuk memujuk Rafizi dan Nik Nazmi masih diteruskan. Jika mereka bersetuju kekal sebagai menteri, maka tidak ada keperluan untuk rombakan kabinet.

"Jika mereka masih berkeras, kekosongan Rafizi dan Nik Nazmi bakal diganti oleh menteri yang lain buat sementara sehingga Dis ini. Apa pun keputusan muktamad di tangan perdana menteri," katanya.

Tambah sumber terbabit, selain Ramanan, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dan Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran akan dilantik sebagai ahli dalam jawatankuasa berkenaan.

Pegawai khas kepada perdana menteri Shanmugam Mookan pula akan bertindak sebagai setiausaha jawatankuasa.

Malaysiakini telah menghubungi Ramanan, Saraswathy, Yuneswaran dan Prabakaran untuk mendapatkan ulasan.

Pada Jan 2023, bekas menteri sumber manusia V Sivakumar mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Hal Ehwal Masyarakat India.

Antara fungsi jawatankuasa tersebut ialah untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat India yang membabitkan isu kewarganegaraan, perumahan, kebajikan, peluang pekerjaan dan pendidikan.

Sivakumar ketika itu berkata jawatankuasa berkenaan dianggotai sembilan ahli parlimen berturunan India dalam kerajaan.

Namun, pada Mac 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Armizan Mohd Ali memberitahu parlimen bahawa penubuhan jawatankuasa itu masih dalam peringkat awal untuk diputuskan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen