Nelayan di Melaka dijangka kerugian lebih RM12 juta setahun jika projek penambakan Zon Ekonomi Pesisir Selat Melaka (SM-WEZ) diteruskan.
Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek itu menyatakan kerugian ini berpunca daripada peningkatan perbelanjaan bahan api, penyelenggaraan bot dan enjin yang lebih tinggi, serta kos peluang kerana masa menangkap ikan yang lebih lama.
EIA mendapati gangguan terhadap ekosistem tempatan akan mengurangkan jumlah ikan, menyebabkan nelayan terpaksa menghabiskan lebih banyak masa dan pergi lebih jauh untuk mendapatkan tangkapan harian mereka.
Menurut laporan itu, 674 orang nelayan di kawasan terlibat dijangka menanggung tambahan RM62,176 sebulan untuk kos bahan api — purata RM92.25 seorang.
Nelayan yang menggunakan enjin di bawah 20 kuasa kuda akan menanggung tambahan RM88.83 sebulan, manakala mereka yang menggunakan enjin antara 20 hingga 39 kuasa kuda akan melihat peningkatan kos sebanyak RM78.77.
Bagi nelayan yang menggunakan enjin melebihi 40 kuasa kuda, mereka akan menanggung tambahan RM113.41 sebulan.
Mereka juga dijangka menanggung kos penyelenggaraan tahunan tambahan sebanyak RM336,324, iaitu purata RM499 setiap orang.
Anggaran kos peluang tahunan sebanyak RM12,547,276 pula merujuk kepada nilai keuntungan yang hilang akibat peluang terlepas kerana masa menangkap ikan yang lebih panjang.
Majoriti tolak projek
Projek SM-WEZ bertujuan menambak 1,123.41 hektar tanah melibatkan 16 lot di sepanjang Selat Melaka bagi pembangunan komersial dan industri.
Ia adalah sebahagian daripada pelan Zon Ekonomi Pesisir Melaka (M-WEZ) yang lebih besar, yang menyasarkan penambakan seluas 10,117.141 hektar sepanjang 33km pesisir pantai Melaka.
EIA melaporkan bahawa 72 peratus nelayan yang disoal siasat tidak bersetuju dengan projek itu, manakala 28 peratus lagi memberikan persetujuan bersyarat.
“Kebimbangan utama, yang dipersetujui oleh 89 peratus responden, ialah kesan negatif ke atas kesejahteraan keseluruhan mereka,” menurut laporan itu.
“Selain itu, 83 peratus responden menegaskan bahawa pampasan yang dijanjikan sebelum ini masih belum dibayar.
“Sebanyak 68 peratus pula menekankan keperluan mengutamakan kebajikan nelayan dan menyatakan pampasan yang sesuai mesti diberikan.
“Tambahan 57 peratus responden menyuarakan kebimbangan mengenai kawasan tangkapan mereka yang menjadi lebih sempit akibat projek ini,” menurut laporan itu lagi.
Terdapat 702 nelayan berlesen di kawasan terlibat: 585 Melayu, 65 Cina, 52 Portugis, lima disenaraikan sebagai "lain-lain", dan dua India.
Namun begitu, EIA hanya menemu bual nelayan Melayu sahaja.
Penempatan Portugis yang terletak hanya 1.07km ke timur tapak projek, telah dikecualikan walaupun ia merupakan satu-satunya lokasi yang mencatat kadar hakisan tinggi.
Tahun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa penduduk Penempatan Portugis melahirkan rasa kecewa terhadap kehilangan sumber rezeki dan tradisi budaya mereka akibat projek penambakan berhampiran.
Laporan terdahulu Malaysiakini turut mendedahkan bahawa projek itu akan memusnahkan kawasan lumpur dan pokok bakau di sekeliling secara kekal, berpotensi mengakibatkan kehilangan biodiversiti.
Kesan negatif besar
Beberapa kebimbangan berhubung pampasan turut dibangkitkan dalam sesi maklum balas bersama nelayan, yang menyatakan agensi kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam proses tersebut.
Mereka juga menegaskan bahawa kesan ekologi jangka panjang akibat projek ini akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.
EIA bagaimanapun menolak kepentingan industri perikanan di Melaka, dengan menyatakan ia hanya menyumbang 0.21 peratus daripada jumlah pendaratan makanan laut di Semenanjung Malaysia pada tahun 2023.
Pada hari Selasa (10 Jun), Save Our Seashores Melaka (SOS Melaka) mengecam projek itu sebagai “tidak mampan, memusnahkan alam sekitar, dan cuai dari segi ekonomi.”
NGO itu menyifatkan penambakan ini sebagai “yang terbesar dan paling merosakkan” yang pernah dicuba di Malaysia.
SOS Melaka berkata rakyat Melaka skeptikal terhadap janji pelaburan RM100 bilion dan 75,000 peluang pekerjaan, sambil merujuk kepada janji-janji pembangunan lalu yang tidak ditunaikan.
Laporan EIA yang disediakan oleh Perunding UEP Sdn Bhd untuk kerajaan negeri Melaka dan SM-WEZ Corporation telah dipamerkan dari 14 Mei hingga 12 Jun.
Maklum balas awam dibuka sehingga 27 Jun.
