malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peluasan SST sebab peniaga 'akhirnya tak bayar cukai' GST – MOF
ADS

Keputusan Malaysia meluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan bukannya mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah pilihan dasar yang bertujuan mewujudkan sistem cukai yang lebih adil iaitu melindungi rakyat biasa dan memastikan golongan berpendapatan tinggi membayar cukai yang setimpal, menurut Kementerian Kewangan.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Malaysiakini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican menjelaskan bahawa peluasan skop SST yang menyasarkan barangan mewah dan perkhidmatan premium tertentu adalah pendekatan progresif yang bersasar dan berbeza secara ketara dengan pendekatan menyeluruh GST.

Johan berkata, perbezaan utama antara SST dan GST adalah siapa yang menanggung beban cukai. Di bawah struktur GST, katanya, perniagaan boleh menuntut kredit cukai input dan memindahkan kos kepada pengguna.

“Keindahan GST dari sudut pandang perniagaan ialah, sebenarnya perniagaan tidak membayar cukai. Semuanya ditanggung oleh pengguna akhir, iaitu anda dan saya,” katanya.

Sebaliknya, peluasan SST lebih menekankan kepada perkhidmatan antara perniagaan (business-to-business).

“Kesan langsung cukai adalah di peringkat syarikat,” ujarnya, khususnya melibatkan perkhidmatan seperti penyewaan hartanah industri, pembinaan bangunan komersial dan perkhidmatan kewangan korporat.

Johan menjelaskan bahawa banyak perkhidmatan SST yang diperkenalkan adalah lebih tertumpu kepada sektor komersial dan syarikat, bukan pengguna. Dia mengakui bahawa kerajaan sebenarnya boleh menjana pendapatan lebih dua kali ganda dengan GST berbanding SST, tetapi tidak mahu membebankan pembayar cukai.

“Untuk SST, kita guna pendekatan senarai positif. Kita pilih contohnya nak kenakan cukai atas pembinaan, sewaan, atau kewangan, manakala banyak lagi tidak dikenakan. Saya rasa ini kerana kerajaan mahu pendekatan yang lebih disasarkan. Sebahagian besar barangan asas masih tidak tertakluk kepada SST, walaupun kita kenakan pada sektor pembinaan atau sewaan, kita tetap kecualikan perumahan.

“Kalau ini dilakukan di bawah GST, akan jadi sangat rumit.”

Menurutnya lagi, “Kelebihan jelas GST ialah ia sangat menyeluruh. Tapi struktur GST ialah: jika saya perniagaan A, saya bayar GST ke atas barangan yang saya beli, saya boleh tuntut balik cukai itu sebagai cukai input. Kemudian saya caj pelanggan saya. Jika pelanggan saya ialah syarikat B, mereka juga boleh tuntut balik, dan caj pula kepada pelanggan mereka — akhirnya yang bayar adalah pengguna.”

Sebaliknya, peluasan SST mempunyai kelebihan kerana sistem itu telah dikenal pasti dan digunakan oleh komuniti perniagaan.

Johan berkata, peluasan SST lebih cepat dilaksanakan dan “mungkin lebih mudah difahami.”

Pada 1 Jun 2018, kerajaan PH yang baru dipilih selepas menewaskan BN telah memansuhkan GST selaras dengan janji pilihan raya, dan mengembalikan SST. Keputusan itu diteruskan walaupun mendapat amaran daripada ahli ekonomi yang menganggapnya sebagai langkah regresif yang boleh menjejaskan hasil kerajaan.

GST digemari kerana kemampuannya menghapuskan cukai berganda dan bertindih, sekali gus mengurangkan kos pengeluaran bagi perniagaan. Lebih 100 negara telah melaksanakan GST atau sistem VAT, dan Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerap mengesyorkan kerangka sedemikian bagi mengatasi kekurangan hasil kerajaan.

Johan berkata kerajaan memilih pendekatan progresif bersasar dengan menumpukan kepada mereka yang mempunyai kapasiti lebih tinggi untuk menanggung cukai. Oleh itu, banyak perkhidmatan SST baru menyasarkan sektor komersial.

“Mungkin ada yang kata kos itu akhirnya dipindahkan juga kepada pengguna. Tapi kesan langsung cukai tetap di peringkat syarikat. Jadi saya rasa, seperti yang saya sebutkan, kerajaan mahu ia lebih bersasar — mereka yang mampu lebih, yang menanggungnya. SST yang diperluaskan ini lebih condong kepada perniagaan berbanding rakyat secara umum.”

Kebocoran hasil? E-Invois jadi penyelesaian

Apabila ditanya mengenai keberkesanan SST dalam menangani ketirisan kewangan, Johan berkata sistem e-invois mampu menangani isu ini secara berkesan.

“Apa yang kita lakukan bersama SST ialah e-invois. E-invois membolehkan kita merekod atau mendaftar semua syarikat yang menyediakan jualan dan perkhidmatan, supaya kita dapat pantau syarikat yang berada dalam jaringan cukai — malah juga siapa pembeli mereka,” katanya.

Dia menambah, e-invois adalah mekanisme tambahan bagi menangani kebocoran.

“Dari segi menangani kebocoran, e-invois adalah mekanisme yang kami rasakan sangat membantu. Saya tidak katakan ia lebih baik daripada GST, tetapi ia pasti satu kaedah yang membolehkan kami mendapat data transaksi ekonomi yang menyeluruh, berbanding jurang dalam kutipan cukai.”

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menangguhkan pelaksanaan e-invois untuk pembayar cukai pertengahan, mengumumkan pada 5 Jun bahawa perniagaan dengan perolehan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta hanya perlu mematuhi sistem ini bermula 1 Januari 2026.

Pihak berkuasa cukai itu juga mengesahkan bahawa pembayar cukai kecil yang berpendapatan atau jualan tahunan bawah RM500,000 kekal dikecualikan sepenuhnya daripada sistem ini.

“Fasa pelaksanaan bagi pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM1 juta ditangguhkan ke 1 Julai 2026,” lapor The Star yang memetik kenyataan LHDN.

Penangguhan itu dibuat selepas kerajaan mengakui cabaran besar yang dihadapi pembayar cukai, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dalam memenuhi keperluan undang-undang berkaitan e-invois. Pegawai kerajaan mengakui perniagaan ini memerlukan masa persediaan yang mencukupi memandangkan pelaksanaan yang kompleks.

Sehubungan itu, LHDN telah menetapkan semula jadual pelaksanaan secara berperingkat. Fasa 3, melibatkan perniagaan dengan perolehan tahunan melebihi RM5 juta tetapi tidak melebihi RM25 juta, kekal dijadualkan pada 1 Julai 2025.

Fasa 4 — untuk perniagaan dengan perolehan RM1 juta hingga RM5 juta — bermula pada 1 Januari 2026, manakala Fasa 5 untuk perniagaan kecil bawah RM1 juta ditangguhkan ke 1 Julai 2026. Agensi itu turut mengesahkan bahawa tempoh kelonggaran enam bulan akan turut diberikan kepada semua fasa pelaksanaan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen