GLOBAL l Sekurang-kurangnya 224 orang terbunuh manakala lebih 1,000 lagi cedera sejak Israel melancarkan serangan ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.
"224 rakyat Iran syahid dan lebih seribu yang lain cedera akibat serangan yang dilancarkan oleh entiti Israel ke atas beberapa lokasi di negara itu dalam tempoh tiga hari lalu," lapor agensi berita separuh rasmi Mehr yang memetik jurucakap Kementerian Kesihatan Iran.

Hossein Kermanpour, berkata jumlah keseluruhan kematian dan cedera mencecah 1,481 orang.
Antara mangsa, 1,277 dibawa ke hospital universiti untuk rawatan, manakala mereka yang cedera dibenarkan pulang selepas menerima rawatan perubatan.
Lebih 90 peratus daripada mereka yang cedera itu adalah di kalangan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, kata Kermanpour.
Korban berikutan ketegangan yang semakin memuncak selepas Israel melancarkan serangan pada Jumaat ke atas kemudahan nuklear dan peluru berpandu Iran yang turut membunuh komander tentera dan saintis. Ini mendorong Iran bertindak balas dengan peluru berpandu balistik dan dron terhadap sasaran Israel.

Sementara itu, Reuters melaporkan Israel mendakwa ia berjaya menguasai ruang udara Iran hampir sepenuhnya dalam gelombang serangan udara hari ketiga pada Ahad, yang menyasarkan lebih ramai pegawai kanan keselamatan negara itu.
Beberapa peluru berpandu Iran juga dilaporkan berjaya melepasi sistem pertahanan udara Israel.
Iran turut mengesahkan bahawa dua loji penapisan minyak diserang Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan yang lebih meluas ke atas sektor tenaga Iran yang kini sudah pun dikenakan sekatan antarabangsa. Ini berpotensi memberi kesan kepada pasaran global.

Tentera Israel pula melalui satu hantaran di media sosial memberi amaran kepada rakyat Iran agar segera mengosongkan kilang-kilang senjata, sebagai isyarat kempen ketenteraan itu mungkin diperluas lagi.
Sekitar tengah hari Ahad waktu tempatan, beberapa letupan baharu kedengaran di ibu negara Tehran.

