malaysiakini logo
story-image
ADS

Yang pasti hegemoni mutlak Barisan Nasional (BN) telah tamat. Pasca PRU-15, Malaysia memasuki realiti politik baru — sebuah era yang mana tidak ada satu blok kuasa dapat memerintah secara mutlak.

Pasca PRU-15 kita menyaksikan kebangkitan tiga kuasa utama yang hampir setara; gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN sebagai teraju pusat, Perikatan Nasional (PN) sebagai blok pembangkang yang agresif dan gabungan autonomi dari Borneo iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berperanan selaku penentu arah politik Malaysia.

Ketiga-tiga blok kuasa menunjukkan ciri-ciri persaingan dan ketegangan, sejajar dengan perkembangan politik Malaysia yang sentiasa berubah serta dipengaruhi oleh rundingan, percubaan merebut semula kuasa dan pertukaran sekutu.

Sepertimana kisah epik ‘Three Kingdoms’ atau ‘Sanguo yanyi’ 三國演義 yang merakamkan keruntuhan Dinasti Han dan kemudiannya mencetuskan perebutan sengit antara tiga kuasa iaitu Shu, Wei dan Wu, politik Malaysia hari ini juga sedang menghadapi episod baru yang tidak kurang dramatiknya.

Pada hemat penulis, ada beberapa persamaan simbolik (bukan secara langsung) antara politik Malaysia kini dengan sejarah Three Kingdom yang berlaku di China lebih 1800 tahun yang lalu. Meskipun era dan konteksnya berlainan, kita boleh membuat sedikit penyerupaan dalam beberapa aspek.

Masing-masing memiliki persis kerajaan China Purba yang terpecah kepada tiga kuasa — memiliki wilayah tersendiri, ketumbukan kuasa berbeza dan impian untuk meluaskan pengaruh. Dalam gelanggang politik yang penuh strategi, tipu muslihat dan pengkhianatan, Malaysia kini berdiri sebagai pentas yang mirip ‘Three Kingdom moden’— bukan sekadar mengekalkan pemerintahan, tetapi keupayaan untuk membina kepercayaan dan mengatur permainan persepsi.

‘Three Kingdom Malaysia’ menjelaskan tentang tiga batas atau wilayah georgafi yang ditanda berdasarkan pengaruh yang jelas antara tiga kuasa utama. Peta dan sempadan yang digariskan blok kuasa tersebut lebih menekankan kepada pengkelasan ‘geografi politik’ berbanding pengkelasan ‘geografi kawasan.’

Menurut pakar dalam bidang geografi politik John Agnew, penekanan terhadap wilayah merupakan asas kepada pembetukan unit politik dan identiti yang kuat. Keunggulan blok kuasa menurutnya tidak hanya bersifat nasional (negara) semata-mata, tetapi terhasil dari ruang sosial dan tempat tertentu.

Dinamika tiga wilayah, tiga kuasa

Berpandukan kepada pemetaan yang dipaparkan, tiga pembahagian wilayah (merangkumi dua di Semenanjung dan satu lagi di Borneo) mewakili pengaruh dalam membentuk identiti yang cukup dinamik.

Bermula dari kawasan Pantai Barat hinggalah ke Selatan meliputi Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor — pusat kekuatan lebih banyak berada di bawah pengaruh PH-BN. Tambahan pula, BN sebagai blok tradisional (bekas penguasa tunggal) masih mengekalkan status quonya di Pahang meskipun negeri tersebut terletak di wilayah Pantai Timur — wilayah yang sinonim dikaitkan dengan dominasi PN.

Sementara di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) dan Utara (Kedah dan Perlis) blok PN memiliki teras sokongan yang hampir solid di wilayah penguasaannya apabila memiliki jumlah kerusi yang besar. Sekalipun, blok PH-BN kini bersekutu dan menjadi pemerintah di peringkat Persekutuan, keupayaan mereka untuk menembusi wilayah ini masih terbatas.

Tidak dinafikan bahawa PH-BN menguasai wilayah yang tampak lebih luas berbanding PN, namun kedudukan mereka tidak sepenuhnya kukuh. Wilayah di bawah blok PH-BN bersifat rapuh dan berpotensi ditembusi oleh PN yang mempunyai kerusi serta sokongan signifikan di beberapa negeri dalam wilayah PH misalnya di Pahang dan Perak.

Blok kuasa dari Borneo turut memainkan peranan penting dalam membentuk sifat kenegerian dan kewilayahan khususnya di Sarawak yang semakin tertonjol dengan identiti dan pendirian tersendiri. Sementara itu, Sabah masih berada dalam proses pembinaan ke arah pengukuhan kenegerian yang serupa. Lebih meyakinkan kini GPS dan GRS memperoleh kuasa autonomi tersendiri daripada blok pusat menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kestabilan dan ketegangan dalam ‘Three Kingdom Malaysia’

Di kalangan ketiga-tiga blok kuasa utama, pertempuran sengit lebih terhala antara blok PH-BN dengan PN, salah satu pemenangnya berpotensi menjadi penguasa di peringkat Persekutuan.

Dalam konteks politik semasa, blok PH merupakan penyandang kuasa di peringkat federal, manakala sokongan dari blok Borneo kini diterima atas dasar kelebihan dan tawaran politik yang diberikan PH selaku pemerintah sedia ada.

Memandangkan kedudukan blok Borneo yang tidak dapat berdiri sendiri selaku blok kuasa di peringkat federal, namun peranannya sebagai rakan strategik dan pelengkap kepada kedua blok amat penting untuk memerintah Malaysia.

Situasi ini menggambarkan pengaruh blok Borneo sebagai faktor penentu kuasa politik di peringkat nasional pada masa kini.

Perlumbaan pengaruh antara blok PH-BN dengan PN dalam menarik masuk blok Borneo selaku sekutu strategik memaparkan adanya usaha berterusan membina sebuah jajaran baru. Maka strategi saling jatuh-menjatuh serta berpaling tadah kepada lawan sering digunakan antara kedua-dua blok tersebut.

Sebenarnya, tiada satu blok kuasa termasuk PH-BN yang mampu menundukkan blok lain secara mutlak. Begitu pun, selaku penyandang kuasa di peringkat federal, pakatan PH-BN berkelebihan memanfaatkan sumber dan tawaran yang lebih strategik. Kekuatan ini selanjutnya dapat digunakan sebagai pendekatan untuk menghalang kudeta dari blok pesaing.

Kewajaran model ini dalam mengimbangi kuasa

Dalam mengekalkan jangka hayat dan status quo sekarang, taktik ‘manage, not conquer’ seperti yang pernah diungkapkan pakar strategi geopolitik Brzezinski dilihat lebih praktikal.

Misalnya blok kuasa pusat tidak boleh ‘conquer’ ke atas blok Borneo, sebaliknya lebih kepada ‘menguruskan.’ Keperluan bekerjasama, mengimbangi pesaing dan dan menumpukan tadbir urus berkesan bertujuan mewujudkan kestabilan.

Bagi mengelakkan konflik tercetus, mengiktiraf realiti politik Malaysia yang berbeza mengikut ‘tiga wilayah kerajaan’ perlu dilaksanakan.

Blok pusat mesti menghormati realiti di wilayah Borneo sebagai rakan setara (equal partners) — perkara ini hampir dipenuhi. Sudah tiba saatnya untuk memikirkan semula konsep federalisme agar kita lebih responsif terhadap garis sempadan politik yang kian berubah khususnya selepas PRU ke-15.

Namun, cabaran terbesar yang didepani oleh blok pusat ialah kebangkitan kuasa PN sebagai pencabar utama. Pertembungan kuasa antara kedua-dua blok ini semakin menonjol dan sukar dikendurkan.

Dalam hubungan ini, adalah sukar bagi blok Pusat untuk menyamakan tahap layanannya terhadap blok Timur-Utara sebagaimana Blok Borneo, memandangkan blok Borneo secara konsisten menyalurkan sokongan kepada pemeritahan pusat.

Namun, pembentukan sebuah ‘peta kuasa politik’ baru secara tidak rasmi wajar dipertimbangkan. Sebuah persefahaman senyap, pembentukan piagam dan perjanjian perlu direncana melibatkan parti politik dalam blok PH dengan PN untuk saling tidak menyerang wilayah lawan secara agresif.

Ia bukan lagi berfokus tentang cara menunduk dan menjinakkan musuh, tetapi mengiktiraf kedudukan penting wilayah PN, sebagaimana yang dinikmati oleh blok Borneo menerusi autonomi tersendiri.

Tanpa memperhitungkan sifir politik yang digunakan, aspirasi untuk mencapai ‘keseimbangan dalam ketegangan’ mungkin dianggap cita-cita utama blok pusat untuk mempertahankan kedudukannya, setidak-tidaknya dalam jangka pendek atau menghabiskan penggal sebelum PRU-16.

Sekiranya kita rangkumkan perbincangan ini, politik Malaysia sedang memasuki era keseimbangan kuasa yang tidak stabil —mirip zaman Three Kingdom. Sebagaimana wilayah dalam kerajaan China Purba, model ini tidak membentuk kestabilan jangka panjang, tetapi mencetuskan ‘keseimbangan yang penuh konflik.’

Ini bukanlah model yang ideal, tetapi strategi ini boleh dijadikan pilihan dalam situasi kebuntuan dan dalam keadaan luar biasa!

Dalam hubungan ini, politik yang mengiktiraf kewujudan kuasa setara lebih daripada satu entiti pemerintahan dalam sesebuah negara sering bersifat sementara, dan lebih mengarah kepada strategi survival kuasa dalam jangka pendek.

Ia bukan hanya paradigma keseimbangan kuasa tetapi keseimbangan ancaman (balance of threats) seperti persoalan gabungan perikatan dan kerjasama antara elit.

Sejarah menyaksikan Three Kingdom akhirnya runtuh dengan kejatuhan ketiga-tiga kerajaan Shu, Wei dan Wu yang membawa kepada penyatuan semula China di bawah satu unit pemerintahan pusat.

Soalnya sekarang bukan sama ada ia pernah berlaku dalam sejarah — tetapi lebih mustahak bagaimana blok kuasa pusat (tanpa mengira parti mana memerintah) mampu menyesuaikan keadaan semasa dan mengurus kuasa dengan bijak.

Tidak dapat dinafikan, pembahagian kuasa berdasarkan tiga wilayah geografi sekarang hasil daripada pilihan dan keputusan rakyat dalam sistem pilihan raya umum.

Namun perlu diingatkan sifat semulajadi sebuah negara moden ialah berpaksikan ke arah penyatuan struktur pemerintahan pusat di bawah satu unit yang kukuh, bukannya kewujudan pelbagai pusat kuasa dalam peta sebuah negara, ini amat berpadanan dengan konteks Malaysia yang memerlukan keseimbangan, kestabilan dan kelancaran pentadbiran.

MOHD AZIZI JAEH DAN MUHAMMAD HELMI OTHMAN merupakan pemerhati politik dan lulusan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen