malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM nak tangkap hari-hari pun boleh, saya tak halang - PM
Diterbitkan:  Jun 15, 2025 5:05 PM
Dikemaskini: Jun 16, 2025 12:06 AM
ADS

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata dia tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu bertindak tegas dalam usaha mendapatkan semula dana awam yang diseleweng, termasuk membuat tangkapan setiap hari jika perlu.

Bercakap dalam program Madani Rakyat di Lumut, Perak hari ini, Anwar menegaskan bahawa reformasi tadbir urus negara perlu memberi keutamaan kepada usaha membanteras penyalahgunaan kuasa dan meningkatkan ketelusan.

"Yang penting apa dalam kerajaan ini? Tata-kelola kena betul. Bagi projek tanpa tender kena berhenti. Sakau sana-sini tak boleh. Biar SPRM geledah habis. Tangkap hari-hari saya tak peduli, saya tak halang," katanya.

Perdana menteri turut menafikan dakwaan bahawa siasatan yang dijalankan bermotifkan politik, sambil menegaskan tindakan perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau kecenderungan politik seseorang.

“Ini kata nak tangkap (Adun di) Sabah? Tangkaplah!.

"Orang kerajaan perpaduan? Tangkaplah! orang pembangkang? Tangkaplah!” tambahnya.

Anwar dipercayai merujuk kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki baru-baru ini bahawa sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa dalam kes skandal rasuah di Sabah.

Pada 12 Jun, Azam berkata SPRM akan mengumumkan nama dua individu tersebut tidak lama lagi, dan memberi bayangan lebih banyak pertuduhan akan menyusul.

Bagaimanapun, kenyataan itu mengundang kritikan kerana didakwa menunjukkan pendakwaan terpilih, memandangkan sekurang-kurangnya lapan Adun di Sabah pernah dikaitkan dengan kes berkenaan.

Anwar dalam ucapannya berkata tindakan tegas juga mesti dikenakan terhadap bekas pemimpin yang didakwa menyeleweng dana awam.

"Yang dah pencen cakap banyak? Kalau betul dia curi, tangkaplah! Kalau betul dia curi. Ini, menteri-menteri, mantan-mantan menteri...bilion ringgit.

"'Oh kesian dekat dia, dia dah tua'. Saya kesian, tapi wang yang diambil dari rakyat, bagi baliklah. Kalau tidak macam mana saya nak baiki sekolah?" katanya.

Anwar berkata walaupun dia secara peribadi sudah memaafkan serangan politik terhadapnya sebelum ini, namun dia tidak akan berkompromi dalam soal wang akyat.

"Kamu pukul aku, kamu terajang aku setengah mati, kamu penjarakan aku, kamu hina aku dan keluarga aku, sekarang aku sudah jadi perdana menteri. Sudahlah, aku maafkan semua. Tapi kamu curi harta rakyat negara aku, itu bukan hak aku. Aku nak kutip balik semua," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen