malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Razarudin enggan sambung kontrak selaras dengan hasrat ibu
Diterbitkan:  Jun 15, 2025 4:03 PM
Dikemaskini: 8:03 AM
ADS

Razarudin Husain mengesahkan kontrak sebagai Ketua Polis Negara akan tamat pada 22 Jun ini selepas dua tahun memegang tampuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya hasrat tersebut turut didorong oleh permintaan ibunya, Rahmah Abdul Rahman, 86, yang menasihati agar tidak menyambung kontrak demi memberi laluan kepada individu baru.

“Ini adalah program terakhir saya, insya-Allah kalau tiada apa-apa 20 Jun ini majlis serah terima tugas dan Paluan Berundur akan berlaku.

“Pertama sekali saya kena beritahu, ibu saya memang kalau boleh dia cakap jangan sambung lagi (kontrak) dan sepatutnya saya habis kontrak memang tidak perlu sambunglah.

“Apabila ibu saya berhasrat begitu, saya akur.

“Sebutan daripada mulutnya ialah satu doa, saya tidak berani ingkar dengan apa yang dikehendaki ibu saya,” katanya kepada pemberita pada program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani Ketua Polis Negara di Kampung Parit Seberang di Kuala Pilah hari ini.

Razarudin berkata hajat tersebut kemudian disampaikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya tiada keperluan untuk dia menyambung kontrak lagi kerana tempoh dua tahun selama ini memadai, dan perlu ada pengganti baru.

Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 secara kontrak selama dua tahun selepas dia bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023. Dia dilantik bagi menggantikan Acryl Sani Abdullah Sani.

Dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor, Razarudin berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen