malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM tinjau perkembangan pembinaan LCS di Lumut
Diterbitkan:  Jun 15, 2025 12:51 PM
Dikemaskini: 4:51 AM
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini membuat lawatan kerja di Lumut Naval Shipyard (Lunas) bagi meninjau kerja-kerja pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di situ.

Anwar diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Mohd Nizam Jaffar.

Dia turut mendengar taklimat berkenaan kemajuan semasa yang telah dicapai, melibatkan pembinaan lima kapal LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan kemajuan kerja keseluruhan pembinaan kapal itu telah mencapai tahap 72.43 peratus setakat 25 Mei lalu.

Menurut kementerian terbabit pemantauan rapi bersama pemegang taruh iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara diteruskan bagi memastikan tindakan intervensi dapat diambil secara proaktif oleh Lunas sekali gus memastikan kelancaran pelaksanaan projek itu.

Kementerian itu turut memaklumkan kapal tempur pesisir pertama (LCS1) berjaya diluncurkan ke permukaan air mengikut jadual kontrak pada 23 Mei lalu.

“Pada masa ini LCS1 telah pun memulakan fasa setting to work (STW) bermula Mei lalu serta dirancang menjalani aktiviti first sea sailing pada Dis akan datang.

“Bagi LCS2, kapal ini juga telah diturunkan ke air pada 8 Mei dan sedang meneruskan kerja pembinaan dan dirancang memulakan aktiviti STW pada Sept ini,” kata kenyataan itu.

Kata kementerian itu lagi, pembinaan LCS3 hingga LCS5 masih mengikut perancangan dengan LCS3 dijangka diserahkan kepada TLDM pada 2027, manakala penyerahan kapal seterusnya adalah selang lapan bulan.

LCS5 pula dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen