Elaun guru Tadika Islam Pulau Pinang (Tadis) dinaikkan RM400 manakala pembantu tadika meningkat RM200 menjadikan jumlah bulanan diterima mereka masing-masing RM1,400 dan RM1,000 bermula bulan ini.
Timbalan Ketua Menteri I Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata kenaikan itu memanfaatkan 40 guru Tadis dan 21 pembantu yang mendidik 874 murid di seluruh negeri.
“Kenaikan ini antara hasil penjenamaan semula Tadika Islam Mutiara Madani (TIMM) yang diluluskan dalam Mesyuarat MAINPP dengan sasaran mewujudkan 30 lagi tadika berkenaan tahun ini.
“MAINPP juga menzahirkan komitmen memperkasakan tadika Islam di Pulau Pinang dengan meluluskan penjenamaan semula Tadis yang wujud sejak 1998 dengan peruntukan RM10,736,800 bagi tempoh 2025-2029,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Selain kenaikan elaun, Mohamad berkata guru Tadis juga menerima tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma secara percuma di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) Pulau Pinang bagi meningkatkan profesionalisme guru tersebut.
“Sebanyak lima tempat ditawarkan kepada guru Tadis bagi setiap semester untuk mereka mengikuti Diploma Pengajian Islam dengan dibiayai MAINPP bagi fasa pertama bermula kemasukan Julai, seperti yang ditawarkan kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) negeri ini,” katanya.
Mohamad berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada pelan tindakan Teras Pembangunan Pendidikan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030.
- Bernama

