malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS cetek dalam hal pentadbiran, dakwa Pemuda PH
Diterbitkan:  Jun 15, 2025 10:45 AM
Dikemaskini: Jun 16, 2025 12:06 AM
ADS

Di mata Pemuda PH, keputusan Pemuda PAS menukar himpunan membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kepada Turun Anwar hanya menghantar dua mesej utama.

Pertama, kata sayap PH itu, pembangkang mendedahkan bahawa mereka cetek dalam hal ehwal dasar awam justeru tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam bantahan yang disuarakan.

Kedua, katanya, ia mendedahkan bahawa pergelutan kuasa dalam kalangan parti komponen PN memang benar-benar wujud dan menimbulkan masalah kepada mereka.

Ketua Pemuda PH, Woo Kah Leong, berkata sebelum ini Pemuda PAS bersungguh-sungguh ke depan membantah PSB ketika rang undang-undang akta tersebut belum pun dibentang atau dibahas dalam Dewan Rakyat.

Kini, katanya, Pemuda PAS ‘bertukar wajah’ lalu mengubah fokus mereka dengan menyerang Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Ini membuktikan bahawa PAS dangkal dalam perihal dasar awam dan hanya berminat untuk menunggang isu.

“Sesungguhnya PAS menghadapi kesukaran untuk menjelaskan rasional mereka menolak PSB yang memang jelas membela nasib rakyat berbilang kaum.

“Sehubungan itu, PAS memilih jalan mudah iaitu menukar fokus himpunan dan mencipta musuh baru bagi mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka berbicara mengenai dasar awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saran buat mesyuarat dalaman

Dalam kata lain, kata Woo, PAS malu untuk berdepan dengan penyokong mereka sendiri lantaran tidak ada alasan yang benar-benar konkrit untuk menolak PSB.

Semalam Pemuda PAS mengumumkan keputusan mereka mengubah tema himpunan – yang dirancang pada 26 Julai ini – daripada membantah PSB kepada Himpunan Turun Anwar.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden, langkah itu diambil kerana mereka berpendapat keseluruhan isu yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Madani berpunca daripada Anwar.

“Maka Pemuda PAS mengisytiharkan himpunan pada 26 Julai nanti ditukar nama daripada himpunan membanta PSB kepada Himpunan Turun Anwar,” katanya di Kuala Lumpur.

Kata Woo, di sebalik gesaan Pemuda PAS agar Anwar berundur, orang ramai tertanya-tanya apabila PN masih gagal mencari kata sepakat mengenai siapa calon yang boleh ditawarkan mereka bagi menggantikan Ahli Parlimen Tambun berkenaan.

Justeru, kata Adun Pasir Bedamar di Perak itu, orang ramai tertanya-tanya siapa tokoh yang ingin dikedepankan PN sebagai calon perdana menteri, sama ada pengerusi parti itu, Muhyiddin Yassin; Presiden PAS Abdul Hadi Awang; atau Ketua Pembangkang yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.

“Langkah Pemuda PAS mengadakan himpunan itu adalah helah politik mereka untuk menonjolkan dominasi parti tersebut dalam kalangan PN.

“PAS kini menguasai semua jawatan menteri besar di negeri-negeri PN, dan mempunyai jumlah kerusi parlimen tertinggi dalam gabungan tersebut.

“Oleh itu, himpunan berkenaan hanyalah sandiwara politik untuk memperkukuhkan kedudukan PAS dalam PN di samping mengekang pengaruh Bersatu,” dakwanya.

Pada masa sama, kata Woo, Pemuda Harapan tetap menghormati hak rakyat negara ini untuk berhimpun, namun mengingatkan langkah Pemuda PAS itu menunjukkan mereka tidak berminat memperjuangkan nasib rakyat.

“Daripada melaungkan slogan Turun Anwar, lebih baik PN mengadakan mesyuarat dalaman untuk membuat keputusan tentang calon perdana menteri mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen