PN menggesa kerajaan membatalkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan kenaikan tarif asas elektrik serta menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95.
Ketua Penerangan PN, Radzi Jidin berkata, ketiga-tiga dasar ini akan memberi tekanan besar kepada rakyat dan komuniti peniaga yang masih bergelut dengan kesan kenaikan kos sara hidup sejak tahun lalu.
"Pelaksanaan tiga dasar utama Kerajaan bagi tahun 2025 bermula dengan perluasan skop SST.
"Di dalam ucapan Belanjawan 2025, Kerajaan menyatakan bahawa perluasan skop SST akan bermula pada 1 Mei 2025 melibatkan antara lain “barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avokado”.
"Namun, pada 29 April 2025 Kerajaan mengumumkan bahawa perluasan skop SST ditangguhkan kerana Kementerian Kewangan masih memperincikannya. Ini memberi gambaran bahawa Kerajaan masih belum bersedia dan tidak mempunyai kerangka percukaian yang jelas ketika perkara ini diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2025,” katanya.
Menurut Radzi, senarai barangan yang dikenakan cukai meningkat daripada 62 muka surat kepada 222, manakala barangan yang dikecualikan cukai menyusut daripada 282 kepada hanya 103 muka surat.

"Gambaran kerajaan bahawa perluasan skop SST difokuskan kepada barangan premium dan tidak membebankan rakyat terbanyak adalah mengelirukan dan tidak bertanggungjawab.
“PN mendesak agar Kerajaan membatalkan perluasan skop SST sehingga mereka benar-benar mempunyai kerangka cukai yang holistik dan jelas agar tidak membebankan rakyat terbanyak,” katanya.
Radzi turut menyelar pengenaan cukai ke atas perkhidmatan seperti sewaan, pembinaan, kewangan dan pendidikan, yang menurutnya dilakukan tanpa libat urus menyeluruh dengan pihak industri.
“Ini seterusnya akan meningkatkan kos operasi peniaga yang kemudiannya akan memberi kesan kepada harga perkhidmatan yang akan dibayar oleh rakyat,” ujarnya.
Mengulas mengenai tarif elektrik pula, Radzi mempersoalkan tindakan kerajaan yang tetap mahu menaikkan tarif asas bermula 1 Julai ini.

"Kenaikan kos tenaga elektrik pasti akan memberi kesan besar kepada komuniti peniaga secara keseluruhannya kerana kos pengeluaran barang dan perkhidmatan mereka akan meningkat.
“PN sebelum ini telah menggesa Kerajaan agar tidak meneruskan hasrat menaikkan tarif asas elektrik ini, mengambil kira kesan besar kenaikan kos tenaga kepada komuniti peniaga dan rakyat terbanyak, khususnya dalam keadaan cabaran ekonomi global yang masih tidak menentu,” katanya.
Sementara itu, Radzi berkata kerajaan masih belum menjelaskan takrifan kumpulan T15 yang perlu membayar harga petrol RON95 lebih tinggi apabila subsidi bersasar dilaksanakan.

"Sepertimana kenaikan kos tenaga yang lain, kenaikan harga petrol akan memberi kesan langsung serta tidak langsung kepada rantaian bekalan, khususnya dalam konteks kenaikan kos pengeluaran. Akhirnya, kenaikan ini akan menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, termasuk mereka yang tidak berada dalam kumpulan T15,” katanya.
Radzi menegaskan bahawa adalah amat penting satu sistem jaringan keselamatan sosial yang holistik, sistematik dan teratur dibentuk sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.
“PN menggesa agar kerajaan menangguhkan dahulu pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi perkhidmatan baru seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, semakan dan peluasan SST itu mencerminkan sistem cukai yang semakin canggih yang memperlihatkan nilai kemakmuran bersama dan, apa yang paling penting, menghalang jurang kaya-miskin daripada terus melebar.
Selain peluasan SST, kerajaan turut mempertimbangkan semakan tarif elektrik Julai ini, namun Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ia tidak akan menjejaskan 85 peratus rakyat.
Kerajaan juga merancang untuk melaksanakan penstrukturan semula subsidi bagi petrol RON95.

