malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Apa nak jadi, jadilah' - Penduduk Kg Sungai Baru enggan berganjak
ADS

Sekumpulan penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur enggan berganjak dari kediaman mereka meskipun pemaju mula memasuki kawasan itu.

Malah, menurut wakil kumpulan penduduk itu, mereka juga tidak akan teragak-agak untuk "bertembung" dengan pemaju jika cuba mengusir mereka keluar dari kediaman.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk, Zainab Alias berkata, mereka membantah pengambilan tanah secara paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 Seksyen 3(1)(c) yang menurutnya mencabul hak pemilik seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.

"Kami sekarang protes dan tak akan berganjak (keluar), apa nak jadi, jadilah, kami tak akan keluar dari tanah kami.

“Pengambilan tanah secara paksaan tanpa persetujuan ini adalah satu bentuk penindasan terhadap rakyat.

"Kami menuntut agar ia dihentikan serta-merta, kami juga menuntut kerajaan campur tangan segera bagi menjaga hak Melayu, kampung ini kampung Melayu," katanya dalam sidang media di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu mereka berkumpul secara aman dengan membawa plakad membantah tindakan pihak pemaju yang mula masuk ke kawasan kampung berkenaan bagi memulakan pembangunan.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini di lokasi, kerja meruntuhkan struktur rumah flat yang terletak di kawasan berkenaan sedang dijalankan.

Zainab berkata, pemaju tidak mempunyai hak untuk masuk ke kawasan berkenaan kerana proses bantahan terhadap perkara itu sedang berlangsung.

"Kita juga mahu pengusiran secara paksa dihentikan dalam keadaan segera, selain mendesak supaya mansuhkan seksyen keji," katanya.

Ia merujuk tuntutan agar Seksyen 3(1)(c) APT 1960 dimansuhkan oleh kerajaan kerana memberikan kuasa kepada pihak berkuasa untuk merampas tanah tanpa izin pemilik sah.

Selain itu penduduk juga mahu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dikaji semula selain mendesak pembangunan inklusif di kawasan itu dirancang dengan mengambil kira pandangan penduduk.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru — yang merangkumi rumah teres dan flat — mencetuskan perdebatan apabila segelintir penduduk membantah pampasan yang dianggap tidak setimpal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, sebelum ini menjelaskan di parlimen, pembangunan tersebut hasil rundingan bersama antara pemilik dan pemaju tanpa paksaan atau tekanan.

Sebahagian penduduk yang enggan berpindah sebelum ini juga menegaskan bahawa ia bukan semata-mata kerana pampasan, tetapi kerana ingin mempertahankan warisan rumah pusaka keluarga.

Pemaju kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil alih tanah terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen